`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

31 AUGUST 2026

Tuesday, September 8, 2026

Kala malam yang dilupakan

 Ironinya, Kala Malam Bulan Mengambang bukanlah filem yang tidak dihargai ketika zamannya. Pada Festival Filem Malaysia ke-21, filem ini memenangi Filem Terbaik.

ronasina

Baru-baru ini saya menonton kembali filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid. Kali pertama saya menontonnya ialah ketika filem itu ditayangkan di pawagam. Saya tak ingat tahun berapa sehinggalah selepas disemak kembali, rupanya pada 2008. Maknanya sudah hampir dua dekad.

Entah kenapa filem ini sedikit tenggelam apabila orang bercakap tentang karya Mamat Khalid. Kita lebih mudah mengingati Rock, Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah dan segala macam watak serta dialog daripada filem-filemnya yang sudah masuk dalam budaya popular sedangkan Kala Malam Bulan Mengambang pun sedap juga.

Setelah menontonnya kembali hampir 20 tahun kemudian, saya rasa filem ini memberitahu sesuatu tentang Mamat Khalid yang kelihatannya terlindung di sebalik reputasi beliau sebagai pengarah komedi — mamat ini sangat faham bahasa sinema.

Ironinya, Kala Malam Bulan Mengambang bukanlah filem yang tidak dihargai ketika zamannya. Pada Festival Filem Malaysia ke-21 (2008), filem ini memenangi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik untuk Mamat Khalid dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Rosyam Nor, selain Penataan Seni Terbaik dan Pereka Kostum/Busana Terbaik. Pada Anugerah Skrin tahun yang sama, ia turut memenangi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Jadi ini bukan perihal filem yang gagal kemudian kita sengaja mahu angkat semula. Tak! Ia pernah diraikan. Cuma entah bagaimana, apabila masa berlalu dan nama Mamat Khalid semakin besar, filem ini seperti tersorok sedikit di belakang karya-karya beliau yang lain. Mungkin kerana Kala Malam Bulan Mengambang agak aneh. Atau penonton kita jarang didedahkan dengan konsep komedi yang pelbagai dalam filem Melayu, malah kita pun tak begitu mahir yang komedi ada banyak cabang.

Yang kita selalu nampak, ‘kelakar’ hanyalah gelak ketawa dengan dialog, aksi serta mimik wajah yang bersekali. Kita tak tahu komedi ada ‘slapstick’, situation comedy (sitcom), ‘deadpan’, dark comedy dan satu dua lagi. Apatah lagi konsep ‘noir’ dalam filem Melayu yang memang asing.

Kala Malam Bulan Mengambang — filem yang dibuat dalam hitam putih ini membawa kita ke sebuah pekan pada zaman 1950-an bersama Saleh (lakonan Rosyam Nor), seorang wartawan yang terjebak dalam satu misteri. Ada pembunuhan, watak-watak misteri, jembalang dan harimau jadian, orang-orang pelik dan suasana yang kadang-kadang membuatkan kita tidak pasti sama ada Mamat sedang serius atau sedang mengenakan kita. Rupanya kedua-duanya.

Malah ada beberapa babak membuat saya ketawa lebih panjang berbanding saya menonton filem-filem komedi lain karya beliau terutama bila mendengarkan ‘voice over’ Saleh; ketika dia mengejar seseorang, kerap dia merungut tentang kesukaran dia berlari laju kerana penyakit angin pasang yang dihidapinya.

Pada permukaannya kita boleh mengatakan Mamat sedang bermain dengan filem noir, genre yang kita kenal melalui filem detektif lama Hollywood — permainan cahaya dan bayang. Tetapi Mamat tidak sekadar meminjam teknik Hollywood. Dia mencampurkannya dengan suasana filem Melayu studio zaman dahulu dengan mengadunkan unsur seram, melodrama dan perangai orang kita sendiri.

Sebab itu saya kata Mamat faham bahasa sinema dan budaya sendiri. Ada beberapa babak dia ‘membantai’ perangai orang kita. Karyawan yang mahu bermain dan melanggar sesuatu genre terlebih dahulu perlulah memahami genre yang hendak dipersendakannya. Maka itu, adunan kesemua resipi itu mencipta satu identiti iaitu ‘filem Mamat Khalid’. Hitam putihnya bukan sekadar supaya nampak klasik. Kostum, bangunan, kedai, kenderaan, cahaya, muzik, cara manusia berdiri malah cara mereka bercakap semuanya membantu membina sebuah dunia. Kita boleh mengambil satu babak tanpa mengetahui tajuk filemnya dan rasanya tetap ada cap dagang Mamat pada gambar itu. Ini sisi Mamat yang kadang-kadang tenggelam kerana kita terlalu mengingatinya melalui lawak.

Dalam Kala Malam Bulan Mengambang, perkara itu jelas. Ia filem misteri, komedi, seram, parodi dan satira dalam satu masa. Saya pernah baca, ada pengkaji dan pengkritik filem mentafsir lebih jauh sindiran politik dan sosial di dalamnya, termasuk simbol-simbol tertentu seperti bulan dan keris yang dikaitkan dengan kuasa, masyarakat serta industri filem sendiri. Mamat juga melalui dialog Saleh, selamba menyentuh tentang perjuangan komunis yang sia-sia dan tidak mendapat tempat di Malaysia.

Saya tidak mahu pergi sejauh itu. Kalau semua benda hendak dicari simbolnya, nanti tengok keris kita takut, tengok bulan kita gelabah, macam kita fobia dengan simbol mata dan segi tiga. Tetapi memang terasa Mamat menggunakan dunia lama untuk bercakap tentang dunia semasanya. Semuanya dimasukkan ke dalam dunia pelik yang dibinanya. Bagi mereka yang selalu menyangka filem adalah dunia realiti, pasti akan menemui kepayahan jika menonton filem ini.

Saya juga pernah terbaca yang Kala Malam Bulan Mengambang agak berserabut dan terlalu banyak perkara mahu dimasukkan. Ada pengkritik juga melihat, apabila cerita semakin berkembang, ia mula melemah dan kurang meyakinkan seperti bagaimana permulaan ceritanya. Akibatnya, keghairahan untuk menonton sampai habis pun mengendur. Tetapi setelah menontonnya kembali baru-baru ini, saya boleh pula meleraikan keserabutan itu. Ini kerana ada pengkritik filem juga pernah berkata, kita tak semestinya perlu memahami cerita sesebuah filem itu sekiranya kita seronok menontonnya. Cukup kita menikmatinya sahaja. Saya setuju. Kala Malam Bulan Mengambang adalah filem yang cukup sekadar kita nikmatinya, tak payah susah-susah memahaminya. Cuma, apa yang boleh saya kata ialah Mamat Khalid adalah genius sinema.

Selepas pemergiannya pada 2021, kita semakin sedar betapa banyak watak dan dialog ciptaannya sudah menjadi sebahagian budaya popular. Orang masih menyebut Kampung Pisang. Orang masih mengulang dialog Hantu Kak Limah. Watak daripada dunia Rock masih dikenali. Man Laksa dirindukan. Itu pencapaian besar seorang pembikin filem. Mamat Khalid berjaya mengubah suatu kebiasaan. Orang masuk panggung mahu tonton cerita yang dibuat Mamat Khalid, bukan sangat hendak melihat muka-muka yang kacak lawa. Mamat Khalid berjaya mempopularkan pelakon-pelakon ‘muka awam’ (istilah orang sekarang) dalam filem-filem yang selalu menjadi sebutan ramai itu.

Cuma sesekali elok juga kita berjalan keluar sedikit dari Kampung Pisang untuk melihat karya Mamat yang ini. Di dalam Kala Malam Bulan Mengambang, kita mungkin akan bertemu Mamat Khalid yang sedikit berbeza daripada yang selalu kita kenang. Ini Mamat yang menunjukkan bahawa di sebalik segala lawaknya, dia seorang pencinta filem yang tahu bagaimana gambar, cahaya, bunyi, ruang, watak dan genre boleh digunakan untuk bercerita. Mamat telah membuktikan betapa luasnya dunia sinema untuk dipelbagaikan dalam sesebuah karya.

Filem Kala Malam Bulan Mengambang seperti sengaja dibuat hitam putih oleh Mamat supaya kelihatan seperti sebuah filem lama. Dan kini setelah hampir dua dekad, ia benar-benar menjadi sebuah filem lama. Pernah diiktiraf dengan anugerah tetapi ternyata ia telah dilupakan. Itu ironinya. Entah-entah memang ironi ini telah dijangka oleh Mamat. Agaknyalah! Kalau benar — saya suka ironi ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.