Solahudin Azmi berkata lebih enam bulan di bawah Jawatankuasa Tadbir Sementara mematangkan kepimpinan negeri untuk menguruskan hal ehwal parti sendiri.

Yang Dipertua PAS Arau Solahudin Azmi berkata teguran itu dilihat sebagai peluang untuk kepimpinan negeri kembali menguruskan hal ehwal parti secara berdikari.
Katanya, sudah tiba masanya PAS Perlis bergerak sendiri dan merancang gerak kerja politik berdasarkan kekuatan serta kesepakatan kepimpinan tempatan.
“Selepas lebih enam bulan berada di bawah pantauan Jawatankuasa Tadbir Sementara (JTS) yang diterajui Naib Presiden PAS Idris Ahmad, kita yakin seluruh saf kepimpinan negeri kini sudah cukup bersedia dan matang untuk menguruskan hal ehwal parti,” katanya dalam kenyataan.
Solahudin berkata PAS Perlis juga mempunyai kelebihan dengan pengalaman Pesuruhjaya PAS negeri Ahmad Ali yang sudah lebih enam dekad menjadi ahli parti.
Yang Dipertua PAS Kangar Yussaine Yahya turut menyatakan kesediaan untuk bergerak secara mandiri, dengan berkata kesepaduan dalam kalangan akar umbi sudah lama terjalin.
Katanya, majoriti kepimpinan dewan, ahli jawatankuasa dan ahli PAS Perlis kini memberi tumpuan kepada gerak kerja menghadapi PRU16.
“Hanya segelintir sahaja yang sengaja bermain isu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis Husna Hashim berkata kepimpinan negeri sentiasa akur dan menghormati setiap ketetapan pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata PAS Perlis antaranya mematuhi keputusan menolak tawaran jawatan setiausaha akhbar kepada menteri besar Perlis.
Katanya, kepimpinan negeri turut menerima pelantikan penyelaras bagi tiga Dewan Undangan Negeri, iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji.
Pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, Sabtu lalu, Sanusi memberi teguran keras kepada PAS Perlis supaya menghentikan pertelingkahan dalaman.
Beliau berkata teguran sama sudah diberikan tahun lalu, namun masalah berkenaan terus berlarutan sehingga pimpinan pusat sukar mencari jalan penyelesaian. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.