Dengan menggunakan istilah 'persepsi', Umno masih anggap Najib Razak tidak melakukan rasuah meskipun mahkamah mendapati dia bersalah. Inilah masalah Umno.

Kita tahu tiga hari lalu Hakim Noor Ruwena Md Nurdin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib Razak untuk tangguh hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion yang dijatuhkan ke atasnya setelah didapati bersalah dalam kes 1MDB. Kita tahu Najib mesti menjalani hukuman itu sebaik tempoh hukuman bersabit kesalahan kes SRC International dilengkapi. Ringkasnya habiskan hukuman kes SRC International dahulu, kemudian jalani pula hukuman kes 1MDB.
Kita juga tahu hukuman asal untuk Najib dalam kes SRC International ialah penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, kemudian dikurangkan kepada penjara 6 tahun dan denda RM50 juta berikutan pengampunan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 2024. Pada 14 Okt lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan Najib diberi pengampunan bersyarat yakni menghabiskan baki hukuman penjara bawah tahanan rumah. Namun mesti bayar denda RM50 juta terlebih dahulu. Diulangi itu bersabit kes SRC International.Untuk konteks, permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman bersabit kes 1MDB telah ditolak mahkamah, Rabu lalu. Maknanya andai Najib bayar denda RM50 juta untuk membolehkan dia menjalani tahanan rumah, Najib tetap akan kembali ke penjara pada Ogos 2028 untuk memulakan hukuman penjara 15 tahun pula kerana hukuman kes SRC International tamat pada 23 Ogos 2028.
Tentunya ramai dalam Umno tidak suka. Umno memang mengikuti rapat kes Najib dan setiap perkembangan yang tidak memihak kepada bekas presiden mereka diterima dengan sugul dan marah. Umno tetap mempertahankan Najib meskipun pelbagai peringkat dalam sistem kehakiman negara mendapati dia bersalah. Ini membawa saya kepada artikel ini, ditulis oleh kolumnis FMT Tajuddin Rasdi bertajuk ‘Teori kenapa orang Melayu terima pemimpin perasuah’.
Penulisan Tajuddin mendapat reaksi seorang ahli Pemuda Umno bernama Salahuddin Hamzah. Beliau menolak teori Tajuddin. “Saya sangat marah dengan teori itu,” kata Salahuddin.
Dalam menidakkan pendapat Tajuddin, beliau berkata persepsi terhadap rasuah berada pada tahap kemuncak susulan skandal 1MDB antara 2014 hingga 2018. Apa yang berlaku selepas itu? Umno-Barisan Nasional ditolak secara besar-besaran oleh rakyat selepas memerintah negara selama 60 tahun. Pada 2022 pula BN hanya memenangi 30 kerusi.
Seterusnya Salahuddin berkata (ini bagi saya amat menarik): “Bukankah ini jelas menunjukkan rasuah yang dipersepsikan berlaku ketika itu turut ditolak oleh orang Melayu?” Oleh itu saya pelik. Jika tahu rakyat termasuk orang Melayu tolak rasuah mengapa Umno terus-menerus mempertahankan pemimpin yang dilihat ramai sebagai perasuah?
Dengan menggunakan istilah ‘persepsi’, Umno masih anggap Najib tidak melakukan rasuah meskipun Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan — membabitkan sembilan hakim — mendapati dia bersalah dalam kes SRC International.
Inilah masalah Umno.
Bak kata wartawan veteran, A Kadir Jasin, di Facebook tempoh hari. “Ada pemimpin, ahli dan penyokong Umno yang gembira teramat sangat dengan pengampunan diraja. Ada yang gembira hingga lupa diri, tetapi ada juga yang sedar bahawa pengampunan bekas presiden mereka menyukarkan pemulihan parti tersebut.”
Kata Kadir, dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno ada yang tidak peduli sangat dengan hal-hal bersangkutan undang-undang, moral dan harga diri. “Bagi mereka skandal penyonglapan duit 1MDB bukanlah isu besar.”
Menurut Kadir, “yang rugi dalam saga ini, adalah rakyat jelata dan pembayar cukai. Untuk membayar balik hutang 1MDB sahaja sebanyak RM42.5 bilion duit awam telah dibelanjakan sehingga 30 Jun ini. Pada ketika rakyat jelata yang tidak bersalah dibebankan dengan berbilion-bilion duit 1MDB yang dicuri dan pelbagai kemelut ekonomi, pihak-pihak yang membuat angkara semakin dimanjakan.”
Memang benar kata Kadir. Lantas saya ulangi apa yang saya sering nyatakan pada beberapa penulisan sebelum ini. Selagi Umno mempertahankan Najib selagi itulah rakyat termasuk orang Melayu akan terus menjauhi Umno. Meminjam kata-kata Kadir tadi “menyukarkan pemulihan parti tersebut”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.