Industri teksi berdepan tekanan kos dan saingan e-panggilan manakala pengusaha bas sekolah hadapi kemerosotan jumlah bas berlesen serta kekangan pembiayaan ganti kenderaan lama.

Presiden Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Hussain, berkata bantuan itu tidak sepadan peningkatan kos operasi dan sara hidup, termasuk sewa teksi RM1,350 sebulan, bahan api RM1,500 serta penyelenggaraan RM200 hingga RM300.
“Kos insurans tahunan pula mencecah RM900 hingga RM2,600,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menggesa kerajaan menyelaraskan kadar tambang e-panggilan yang didakwanya terlalu rendah sehingga mencetuskan persaingan tidak sihat dan menjejaskan pendapatan pemandu teksi.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata bantuan khas diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 itu bersifat sekali bayar dan bergantung pada hasil tambahan kerajaan jika mahu diteruskan pada masa depan.
Pemberian itu memanfaatkan 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata industri memerlukan pembaharuan untuk menarik golongan muda serta membantu pengusaha menggantikan kenderaan lama.
Katanya, jumlah bas sekolah berlesen di Semenanjung merosot daripada kira-kira 14,000 pada Januari 2019 kepada 10,744 pada Januari 2026.
“Pengeluaran lesen baharu belum dapat mengimbangi jumlah pengusaha yang meninggalkan industri, termasuk mereka yang sudah berusia dan tidak lagi mampu meneruskan operasi.
“Kekangan pembiayaan juga menyukarkan pengusaha menggantikan bas lama, khususnya apabila masih mempunyai baki pinjaman kenderaan persendirian dan tidak dapat memperoleh pembiayaan baharu,” katanya.
Amali mencadangkan kerajaan menyediakan pinjaman mudah melalui program peremajaan dan pemutihan bas sekolah bagi membolehkan pengusaha beralih kepada bas berdaftar serta meneruskan perniagaan kepada generasi seterusnya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.