Ketua Pengarah Othman Mustapha mengesahkan Zamihan Mat Zain seorang pegawai kader Jakim di KDN yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merujuk pegawai kadernya, Zamihan Mat Zain, ke lembaga tatatertib berhubung kenyataan yang didakwa mengkritik Sultan Johor dalam kontroversi dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja”.
Ketua Pengarah Tan Sri Othman Mustapha berkata Jakim memandangkan serius ceramah Zamihan yang dimuatnaik di laman popular YouTube, yang didakwa mengandungi unsur kritikan terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau juga mengesahkan Zamihan seorang pegawai kader Jakim di Kementerian Dalam Negeri yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.
“Jakim telah memanggil ustaz Zamihan Mat Zain pada pagi tadi untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan perkara berkenaan. Jakim telah memutuskan untuk merujuk perkara ini kepada lembaga tatatertib untuk tindakan lanjut,” kata Othman dalam kenyataan yang diterima FMT malam tadi.
Semalam, raja-raja Melayu mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk kontroversi dobi “mesra Muslim di Johor dan seumpamanya di Perlis sebagai tindakan yang bersifat keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian, dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.
Kecaman itu menyusuli penularan video Zamihan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, yang berkata kenyataan Sultan Ibrahim itu “tidak patut”, dan mempertahankan dasar kedai dobi itu kerana pakaian orang bukan Islam masih tidak cukup bersih, malah menganggap orang bukan Islam tidak membersihkan diri selepas membuang air besar.
“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” kata Zamihan.
Beliau juga membuat kenyataan terhadap rakyat Cina Malaysia.
“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan, sambil mencabar rakaman ucapannya ditunjukkan kepada pihak atasan termasuk sultan.
“Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” tambahnya.
Bagaimanapun, Zamihan hari ini memohon ampun kepada Sultan Johor dan menyerang beberapa media sambil mendakwa difitnah. Zamihan juga berkata beliau tidak menggunakan perkataan “kasar” terhadap Sultan Ibrahim.
Zamihan kemudian mengugut menyaman beberapa portal berita termasuk FMT, sambil menyerang FMT kerana mempunyai agenda “merosakkan hubungan antara kaum” dan memburukkan imej beliau. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.