`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, October 31, 2017

Samantha bawa nasi lemak ke Miss Universe 2017

Gambar Kredit Miss Universe Malaysia
Gambar Kredit Miss Universe Malaysia

Kalau tahun lalu rakyat Malaysia digemparkan dengan pakaian Petronas Twin Tower bagi wakil Miss Universe Malaysia 2016 oleh peserta Kiran Jassal, tahun ini kita digemparkan pula dengan dress “nasi lemak”.
Bakal mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa menggunakan tiket Miss Universe 2017 di Las Vegas di Nevada, Amerika Syarikat pada 26 November nanti, Samantha Katie James bakal mempamerkan pakaian kebangsaan menggunakan tema “nasi lemak”.
Bangga dan teruja dengan pakaian yang lengkap bersayapkan daun pisang, Samantha akui tidak sabar-sabar memperaga “makanan kebangsaan” Malaysia yang ditransformasi pada pakaiannya.
Samantha juga berkata jika dibenarkan, dia mahu memasak nasi lemak di Las Vegas untuk dikongsi bersama peserta lain sebagai cara memperkenalkan makanan kebangsaan Malaysia kepada wakil dunia.
“Kalau boleh saya nak bawa bahan masakan nasi lemak ke sana dan memasak serta memperkenalkan makanan tersebut. Saya pasti semua orang akan suka,” katanya.
Pereka pakaian tersebut, Brian Khoo, anak kelahiran Sabah itu pula berkata sebagai makanan yang benar-benar menyerlahkan imej negara dan disukai rakyat Malaysia, ia adalah inspirasi pilihan paling tepat.
“Kerana bermula tahun lepas kita sudah berfikir di luar kotak. Tahun lalu kita pamerkan bangunan berkembar Petronas, jadi tahun ini saya pilih nasi lemak yang menjadi makanan kegemaran termasuk saya dan Samantha,” katanya.
Pakaian yang memuatkan unsur nasi dan sambal di bahagian dada, serta telur, timun dan ikan bilis di bahagian pinggang serta daun pisang seperti sayap mengambil masa 400 jam untuk disiapkan menggunakan kudrat 6 orang.
Ia menggunakan jemeki mutiara di atas fabrik sutera (nasi), batu ruby (sambal), dan bahan sampingan menggunakan jemeki kaca.
Manakala, daun pisang pula menggunakan fabrik warisan negara iaitu kain batik.
Dalam pada itu, pakaian dress petang Miss Universe Malaysia pula berwarna merah hati dengan konsep baju tube mendedahkan belahan dada dan potongan luas di bahagian kaki dan sarung kaki lutsinar bertatahkan batu.
Brian berkata ia dijahit tangan menggunakan batu Swarovski dengan ilham menyerlahkan feminisme dan sensualiti.
“Baju petang ini akan bersinar dan lebih menyerlah di bawah cahaya lampu pentas Miss Universe nanti,” katanya.
Pengarah Kebangsaan Miss Universe Malaysia Organization, Elaine Daly ketika ditemui berkata, kedua-dua pakaian yang dipersembah bakal menjadi buah mulut dan pasti akan memberi impak positif tatkala dibawa ke platform antarabangsa.
“Rakyat kita sedar akan pertandingan ratu cantik Miss Universe dan wakil negara berbanding beberapa tahun dahulu.
“Gadis-gadis peserta melihatnya bukan sahaja sebagai pertandingan malah titik permulaan untuk membawa diri mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ia memberi keyakinan untuk membangunkan mereka,” katanya.
Elaine juga akui amat berpuas hati dengan kedua-dua dress petang dan baju kebangsaan, “nasi lemak” walaupun mengakui dress petang sebenar akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan sehinggalah pada malam pertandingan itu sendiri.
“Kita semua sedia maklum, dress petang sebenar sememangnya tidak akan didedahkan. Ini bagi mengekalkan elemen ‘kejut’,” tambahnya.


-FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.