`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, October 8, 2017

KAKITANGAN AWAM TAK USAH TAKUT UNTUK MENUKAR KERAJAAN

Selain peneroka Felda dan orang-orang kampung yang rata-ratanya masih bergantung kepada media konservatif, satu lagi kelompok yang menjadi penentu kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya ialah kakitangan awam kerajaan.
Dengan saiz seramai 1.6 juta orang, jumlah itu boleh dikata simpanan tetap yang selesa bagi UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya.
Sebab itu, selain pelbagai tawaran dan janji kepada kakitangan awam merupakan lumrah pada setiap kali menjelang pilihanraya, ugutan dan gertakan, sama ada secara halus atau terang-terangan, tertutup atau terbuka, adalah perkara yang selalu kita dengar ditujukan kepada mereka.
Semua itu memperlihatkan betapa pentingnya undi kakitangan awam sentiasa berada dalam kepungan UMNO dan BN.
Dalam keadaan terdesak dan takut kalah, selalunya ugutan dan gertakan adalah senjata paling ampuh untuk memastikan undi kakitangan awam tidak beralih. Mereka kerapkali berdepan ugutan ditukar tempat kerja, diambil tindakan disiplin atau diancam hilang pekerjaan.
Kadangkala ugutan hilang pekerjaan kepada kakitangan awam itu turut dilakukan secara terbuka dan terang-terangan. Najib Razak baru-baru ini mengingatkan jumlah kakitangan awam akan dikurangkan jika Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.
Ucapan itu adalah suatu bentuk ugutan yang nyata, walaupun dilakukan secara halus.
Sebagai rakyat yang mempunyai hak mengundi dan membuat pilihan setiap lima tahun sekali, sebenarnya adalah malang sekali kakitangan awam masih diperlakukan sedemikian rupa.
Ketika berkhidmat dan menjalankan tugas, memang kakitangan awam terikat dengan pelbagai peraturan sebagai anggota pentadbiran kerajaan, tetapi hak itu tidak membawa sehingga kepada siapa yang harus mereka pangkah di kertas-kertas undi.
Memangkah kertas undi adalah hak yang sah dan bebas kepada setiap rakyat yang berusia 21 tahun dan ke atas. Sama seperti pengundi biasa yang mana undi mereka adalah rahsia dan mengundi pula di tempat yang sama seperti orang awam lain, undi kakitangan awam juga sama sifatnya.
Undi kakitangan awam tetap rahsia dan tidak boleh dikesan. Bagi anggota keselamatan dan kelompok lain yang mengundi awal, undi mereka juga sebenarnya adalah rahsia. Pihak lain yang mungkin memangkah undi mereka tidak berlaku lagi kerana wakil-wakil parti yang bertanding akan hadir menyaksikan pembuangan undi awal tersebut.
Baik kakitangan awam yang daftarnya sama seperti pengundi biasa atau menjadi pengundi awal, hakikatnya tidak ada sesiapa boleh tahu atau mengesan siapa yang mereka undi.
Jika kakitangan awam mendapati kerajaan di mana mereka berkhidmat selama ini dipenuhi dengan pembaziran, penyelewengan, rasuah dan sebagainya, mereka harus berani menolak dan membuat perubahan.
Kalau tidak, parti yang sama akan terus menguasai kerajaan dan kakitangan awam akan selamanya terpaksa menerima berlakunya amalan membazir, menyeleweng dan rasuah dalam negara ini, malah mungkin dalam skala yang makin berleluasa.
Dalam hal ini, pelbagai cukai yang dibayar oleh rakyat, termasuk oleh kakitangan kerajaan sendiri, tidak lebih hanyalah untuk memberi kekayaan secara tidak sah kepada orang-orang parti yang menguasai kerajaan.
Dakwaan Pakatan Harapan akan mengurangkan jumlah kakitangan sebagaimana ugutan halus Najib adalah temberang semata-mata. Di Selangor dan Pulau Pinang, sudah 10 tahun Pakatan Harapan menguasai kerajaan negeri apabila mengambilalihnya daripada UMNO dan BN sejak 2008 lalu, namun tidak pernah wujud sama-sekali tindakan membuang atau mengecilkan saiz anggota perkhidmatan awam.
Bukan itu saja, malah oleh kerana tiada pembaziran, tiada penyelewengan, tiada rasuah dan tiada isteri pemimpinnya mahu memakai cincin atau rantai berjuta-juta harganya, kakitangan awam di Selangor dan Pulau Pinang telah mendapat duit raya dan bonus tahunan yang lebih tinggi berbanding yang mampu diberikan oleh kerajaan Pusat.
Faktor yang tidak kurang pentingnya, terutama jika wujud ugutan dipindah tempat kerja atau sebagainya, tetapi kakitangan awam amat menyedari kerajaan yang ada sekarang amat buruk dan harus ditukar, mereka boleh menyelamatkan kedudukan mereka dan dalam masa yang sama menjadi pengundi yang lebih bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara, ialah dengan secara beramai-ramai mengundi calon Pakatan Harapan.
Ia bukan saja memungkinkan kerajaan mampu ditukar, malah dapat mengelakkan sebarang tindakan dapat diambil terhadap mereka. Tentulah mustahil tindakan dapat diambil kepada jumlah yang ramai berbanding jika hanya seorang dua yang didapati condong kepada perubahan.
Kakitangan awam bukan saja tidak harus takut untuk bersama-sama dengan gelombang perubahan, malah perubahan kerajaan lebih mungkin memberi kebaikan kepada masa depan mereka dan anak-anak dalam meneruskan kehidupan di negara yang kaya ini, tetapi dimiskinkan oleh UMNO dan BN sejak lebih 60 tahun lalu.
– http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.