ALOR GAJAH: Dua pelanggan dan lima pekerja sebuah restoran makanan segera 24 jam, di sini nyaris maut apabila seorang perompak mengacukan pistol sebelum melarikan wang tunai bernilai RM13,130, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa yang juga penolong pengurus, 25, mendakwa sedang mengira wang tunai daripada peti besi sebelum didatangi suspek yang mengacukan pistol.
Difahamkan, mangsa yang panik menyerahkan wang tunai berjumlah RM13,130 selepas diarah berbuat demikian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, mengesahkan menerima laporan kejadian samun
selepas mendapat panggilan kecemasan di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, pada jam 4.45 pagi.
Katanya, suspek dilaporkan memakai topi keledar bertutup muka yang secara tiba-tiba memasuki restoran itu.
"Ketika kejadian, terdapat lima kakitangan yang bertugas syif malam
dan dua pelanggan sedang menjamu selera di restoran itu.
"Semua yang menyaksikan kejadian itu tidak dapat mengecam suspek kerana memakai topi keledar bertutup muka," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun keseksaan. -nst

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.