RAKYAT Malaysia harus terus berjuang untuk sebuah negara yang bebas rasuah, kata Dr Mahathir Mohamad.
Memetik Brazil dan Korea Selatan sebagai contoh, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, rakyat kedua-dua negara itu mengadakan protes di jalanan setiap hari bagi menjatuhkan ahli politik yang korup sehingga mereka meletakkan jawatan.
“Kita tak menyuruh rakyat bertindak ganas, kita minta beri sokongan saja (untuk tentang kleptokrasi),” kata Dr Mahathir pada sesi soal jawab FB Live Bicara Wawasan 2020.
Beliau mengulas mengenai keengganan sesetengah rakyat Malaysia untuk menyatakan ketidakpuasan terhadap kerajaan secara terbuka.
“Rakyat yang percaya pemimpin-pemimpin sekarang tidak layak (memimpin) dan tidak bagus untuk negara mesti menunjukkan bagaimana mereka menyokong usaha untuk menghapuskan kerajaan,” kata Dr Mahathir semasa sesi soal jawab selama 40 minit itu.
Jika tidak, kata Dr Mahathir, pembangkang tidak akan berjaya dalam usaha untuk mengambil alih kerajaan serta melaksanakan rancangannya untuk menghapuskan rasuah.
Apabila ditanya mengapa rasuah masih berlaku sedangkan ada institusi-institusi untuk mengekangnya, Dr Mahathir berkata ia adalah kurangnya keinginan untuk melawan ancaman itu.
“Jawapannya senang saja. Apabila pemimpin terlibat dengan rasuah, maka dia dengan sendiri tidak akan berminat dalam menghalang rasuah di kalangan kakitangannya dan orang lain juga.
“Pemimpin sendiri menghulurkan wang kepada pengundi umpamanya untuk mendapatkan sokongan, ini adalah satu jenis rasuah,” katanya.
Laporan mesti dibuat terhadap pemimpin itu supaya tindakan undang-undang akan diambil ke atasnya, kata Dr Mahathir.
Tetapi, apabila pemimpin itu sendiri perasuah dan mempunyai kuasa untuk menghalang tindakan undang-undang ke atasnya, maka dia boleh bebas dan terlibat dengan rasuah yang lebih besar, katanya.
Dr Mahathir turut menghentam pemimpin-pemimpin yang tiada rasa malu : “Mereka masih boleh tersenyum.”
Membandingkan perbuatan rasuah dengan jenayah membunuh, beliau berkata kita harus menahan diri dari melakukannya kerana kita tahu ianya salah.
“Kita tak membunuh bukan kerana undang-undang, kerana kita tahu ia salah, bukan kerana takut diperhatikan. Jadi kita tak akan membunuh walaupun tiada sesiapa tengok.
“Dalam hati kita percaya bahawa rasuah itu adalah satu jenayah yang buruk dan keji, kita tidak akan lakukannya. Maka kita akan disiplinkan diri kita, membendung nafsu dan tidak akan terlibat dengan rasuah” katanya.
Bekas perdana menteri itu juga ditanya pendapatnya mengenai pendidikan, tindakan pengesahan (affirmative action) dan kebebasan akhbar semasa sesi itu.
– https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.