`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 2, 2019

8 cedera lif PPR Kg Kerinchi terhempas dari tingkat 5

Gambar Facebook.
KUALA LUMPUR: Lapan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi dekat sini, mengalami kegagalan sebelum terhempas dari tingkat 5 petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, seramai 9 individu menaiki lif berkenaan namun sebaik tiba di tingkat 5, lif tersebut mengalami kegagalan sebelum terhempas.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba Penyelamat Kuala Lumpur, Muhammad Ridwan Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 2.40 petang dan jentera dengan kekuatan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Lapan mangsa ditemui di dalam lif dan pemeriksaan mendapati mereka patah kaki dan cedera di pergelangan kaki dan tangan. Semua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya di lokasi kejadian.
Katanya, operasi menyelamat 6 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun itu selesai kira-kira 15 minit kemudian.
Sementara itu, seorang mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu, Ahmad Shahid Imran, 24, berkata dia sempat memegang panel butang ketika lif itu terjatuh.
Menurutnya, lif itu sedang bergerak ke tingkat 5 sebelum “menjunam” ke bawah dengan pintunya dalam keadaan terbuka.
“Saya ketika itu tidak dapat berfikir apa-apa dan dapat pegang panel itu….ramai yang menjerit dan berlaku terlalu pantas. Ada 9 orang ketika kejadian termasuk seorang wanita, seorang kanak-kanak dan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU)…ada yang terseliuh dan patah kaki, satu pengalaman ngeri yang tidak dapat dilupakan,” katanya di lokasi kejadian hari ini.
Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan yang mahu tindakan segera diambil dan akan berbincang dengan 11 kontraktor yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelenggara lebih 500 lif di ibu negara.
Daripada rekod di pangsapuri berkenaan didapati lif diselenggara secara berkala namun beliau masih menunggu laporan siasatan daripada pihak kontraktor dan bomba.
“Lif di pangsapuri ini diselenggara mengikut jadual namun tidak dapat dipastikan apakah punca kejadian lif ini terhempas. Kita perlu periksa dahulu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kejadian.

Beliau berkata, setakat petang ini, 5 mangsa masih menerima rawatan di PPUM manakala 3 lagi mangsa dibenarkan pulang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.