KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan pegawai jabatan itu bertindak biadap terhadap 2 anak saudara lelaki Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos lepas.
Ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata, 2 lelaki berkenaan dibawa ke pejabat operasi JIM di KLIA hanya untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan lawatan sosial mereka ke negara ini.
“Kedua-dua mereka sebelum itu gagal memberikan jawapan memuaskan semasa berada di kaunter ketibaan imigresen,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya Tinggi Namibia, Anne Namakau Mutelo mendakwa 2 anak saudaranya, Adventure Simataa Simasiku dan Roydie Mabengano Simasiku ditahan seorang pegawai Imigresen selama 3 jam selepas tiba di negara ini pada 6.25 petang.
Mutelo mendakwa tindakan pegawai itu mencabuli hak warga Namibia kerana menahan mereka secara tidak sah.
Khairul Dzaimee berkata, susulan kejadian itu, pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Wisma Putra berhubung tindakan Mutelo yang mencampuri urusan serta prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu.
Katanya ketika kejadian, Mutelo meluru masuk ke pejabat operasi dan mempersoalkan SOP jabatan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi.
“Satu surat bantahan akan dihantar minggu depan kerana beliau (Mutelo) mencampuri urusan dan SOP agensi kerajaan serta menimbulkan perkara yang tidak benar,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.