Walaupun sudah lebih seminggu berlalu tetapi 2 isu kecil, khat jawi dan perobohan binaan buku terbuka di atas Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih diulas warga Internet. Walaupun kelihatan seperti berkaitan agama dan kaum, di sebaliknya adalah perasaan takut atau rasa tidak selamat sebahagian rakyat dari kaum yang berlainan.
Masing-masing bimbang hak kaum mereka terhakis dan segala jaminan tidak dipedulikan. Sebaliknya kepentingan politik turut menyemarakkan suasana ini. Sebabnya isu agama dan kaum amat laris. Satu isu kecil dan remeh yang bernada kaum dan agama boleh meraih sokongan politik berbanding isu kompleks dan rumit berkaitan ekonomi, korupsi dan alam sekitar.
Sebagai contoh tentang khat. Apalah sangat belajar beberapa muka surat khat jawi. Tetapi ia dirasakan sebagai menjejaskan identiti mereka sebagai kaum tersendiri. Mereka takut ia akan membawa kepada hakisan sekolah bahasa mereka. Malah mereka takut akhirnya anak-anak akan berpindah agama kerana belajar seni tulisan itu.
Terhadap binaan bentuk buku terbuka pula, mereka mengesyaki ia agenda untuk menghapuskan lambang Islam. Ini kerana bentuk buku terbuka itu menyerupai rehal, yang dianggap sebagai syiar Islam. Andai kata binaan itu tidak dipertahankan, maka mereka takut akhirnya kuasa mereka hilang dan tidak bebas mengamal agama sendiri. Sedangkan tindakan merobohkan binaan itu semata-mata kerana keselamatan.
Perasaan tidak selamat ini universal dan berlaku di seluruh dunia. Ia pula berasaskan pada apa yang berlaku dalam sejarah, sama ada berfakta atau hanya perspektif, dan ilusi berdasarkan pseudo sejarah.
Ada kalanya isu yang mencetuskan rasa tidak selamat itu hilang ditelan zaman apabila generasi bergantian tetapi terdapat juga ketakutan itu berpanjangan, walaupun ada ketikanya ia terpendam tetapi kemudian meletus pada generasi lain.
Dengan menyedari rasa takut itu boleh difahami, dan sukar hendak dihapuskan sama sekali, apa yang penting dilakukan ialah mengurus gejala ini supaya ia terkawal dan tidak bersemarak hingga boleh mencetuskan keadaan yang tiada siapa ingini.
Isu remeh
Malaya merdeka pada 1957 dan generasi pengasas negara sudah lama meninggal dunia. Mereka menyediakan Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial asas untuk memastikan semua kaum tidak berasa takut atau tidak selamat. Asas itu kemudiannya dikembangkan dengan pelbagai polisi bagi menghilangkan rasa takut ini.
Selepas itu keadaan terkawal dan kejadian besar hanyalah peristiwa 13 Mei, itupun hanya berlaku di Kuala Lumpur. Selain itu pada tahun-tahun yang berlalu dan di tempat-tempat lain di seluruh negara suasana aman dan harmoni.
Apa yang tercetus adalah isu-isu kecil dan remeh yang berlaku dari semasa ke semasa. Ia menjadi ketara menjelang pilihan raya umum ke-14 dan juga sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Menjelang PRU-14, antara jalur hujah penentang PH adalah menggunakan dimensi perkauman dan keagamaan. Gambaran yang dilemparkan adalah PH dipengaruhi DAP.
Tidak seperti Barisan Nasional yang menempatkan Umno sebagai parti dominan yang mana parti kaum lain hanya akur, struktur PH memberi kedudukan setaraf pada semua parti tanpa mengira besar mana keahliannya.
Hakikat bahawa Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebagai 2 tokoh Melayu, dengan dokongan Mohamad Sabu sebagai bekas pemimpin PAS tidak dihiraukan hujah bernada perkauman itu. Mereka berulangkali menekankan Lim Kit Siang menerajui PH. Hujah ini tidak berfakta tetapi ia bermain dengan sentimen.
Apabila BN kalah dan PH memerintah, rasa takut ini lebih mudah disebarkan. Pastinya berlaku perubahan-perubahan polisi kerajaan kerana sememangnya terdapat perbezaan PH daripada BN. Walaupun kebanyakan perubahan polisi ini untuk kepentingan rakyat umumnya tetapi yang menjadi perhatian adalah dimensi perkaumannya.
Sejak dari penubuhannya pada 1965, DAP dicurigai oleh kebanyakan orang Melayu yang selama ini kebanyakannya menyokong Umno. Ia lanjutan daripada perbalahan Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew, pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.
Perbalahan itu sampai kemuncak apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia, mengakibatkan bekas ahli-ahli PAP di negara ini menubuhkan DAP untuk meneruskan perjuangan gagasan “Malaysian Malaysia”.
DAP muncul sebagai parti kaum Cina yang mencabar kekuasaan dan fahaman Umno. Ia mewakili sentimen rasa takut kaum Cina terhadap polisi pro-Melayu BN. Sementara Umno menjadikan DAP yang perlu ditakuti oleh orang Melayu.
Sebenarnya generasi sudah berubah. Malah DAP pun sudah tidak menyebut “Malaysian Malaysia”. Perubahan DAP ini dapat dikesan semasa penubuhan Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990. Tetapi kebanyakan orang Melayu tetap mencurigai DAP.
Generasi muda rasis
Generasi berganti generasi, walaupun manusia juga berubah pendirian apabila usia sudah meningkat tetapi perubahan ketara berlaku kerana generasi baru yang mempunyai pandangan berbeza.
Tetapi melihat perbincangan warga Internet, dapat dirasakan kedudukan hubungan kaum ini tidak berubah sejak zaman sebelum merdeka. Adakah pendidikan dan dasar sosial selama lebih 60 tahun tidak dapat mewujudkan rasa selamat antara kaum?
Realitinya, generasi yang ada hari ini tidak serupa dengan generasi dulu yang sudah tiada lagi. Perubahan generasi ini jugalah yang membolehkan PH dan juga DAP menjadi kerajaan.
Tetapi sikap perkauman yang ditunjukkan oleh sebahagian warga Internet juga dari kalangan generasi muda. Maknanya dalam waktu sama lahir generasi yang toleran, turut muncul generasi rasis baru yang datang dari semua kaum.
Generasi muda rasis ini tidak melalui Darurat, perjuangan kemerdekaan, penubuhan Malaysia dan peristiwa 13 Mei. Malah sebahagian besarnya hasil polisi BN pimpinan Mahathir.
Dengan memahami perasaan kaum ini hasil suasana rasa tidak selamat, maka ia perlu dilihat dari sudut psikologi massa dan perlu ditangani bukan saja melalui hujah rasional tetapi lebih penting lagi ialah cara mengurus sentimen dan emosi. Ini termasuk melalui komunikasi, simbolisme dan acara, di samping penguatkuasaan undang-undang hasutan dan fitnah bagi menghalang penyebaran kebencian.
Apa yang jelas, setiap warga Internet yang memuatnaik kata-kata, gambar bernada kebencian, menghasut dan memfitnah dalam bentuk perkauman adalah penyumbang kepada rasa tidak selamat, yang jika tidak terkawal akan akhirnya benar-benar mewujudkan suasana tidak selamat.
Pihak berkuasa mempunyai kuasa terhad. Bilangan anggotanya terhad, begitu juga dengan sumber kewangannya. Rakyat sendiri yang perlu mengawal diri dan masyarakat masing-masing.
Namun soal ekonomi juga kuncinya. Dalam keadaan ekonomi yang merosot, pasti suasana rasa tidak selamat wujud dan ia boleh muncul dalam dimensi perkauman. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.