`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, August 28, 2019

NUTP harap program sarapan percuma tiada unsur politik, kroni

NUTP berkata kebanyakan murid dari luar bandar terdiri daripada golongan B40 yang mana mereka tidak mampu bersarapan pagi sebelum ke sekolah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong penuh usaha kerajaaan memperkenalkan program sarapan percuma kepada murid sekolah rendah.
Presidennya Aminuddin Awang berkata, walaupun langkah itu baik terutamanya dalam menjaga kebajikan pelajar, pemberian projek itu perlu dibuat secara telus menerusi tender terbuka tanpa melibatkan politik dan kroni.
“Kita yakin sekiranya program ini dapat dilaksanakan mengikut peraturan, sebenarnya ia mampu menghasilkan pelajar yang cemerlang, sebab kita sedia maklum murid terutamanya dari luar bandar ramai daripada golongan B40 yang mana mereka tidak mampu untuk sarapan pagi sebelum ke sekolah dan kita tahu kalau murid tidak makan pagi mereka sukar untuk menerima pelajaran.
“Kita juga amat mengharapkan supaya satu mekanisma yang lebih telus dapat diwujudkan bagi memastikan keadilan kepada mereka yang layak menerima projek ini.
“Apa yang paling penting tiada campur tangan politik dalam urusan pengagihan tender kepada pembekal projek sarapan pagi, jangan ada banyak campur tangan luar,” katanya kepada FMT.
Aminuddin turut berharap makanan yang disediakan juga selaras dengan kos yang diperuntukkan supaya tidak berlaku pembaziran dan pelajar mendapat kualiti makanan yang sihat dan berzat.
“Harapan besar kita supaya pemantauan secara berterusan dan berkesan dapat diadakan pihak pegawai peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah sendiri bagi memastikan nilai makanan yang disediakan berpadanan dengan kos yang ditetapkan nanti,” katanya.
Tambah beliau, NUTP berharap pihaknya turut terlibat dalam jawatankuasa yang akan ditubuhkan kementerian bagi membincangkan peruntukan yang bakal digunakan untuk program itu.
Kira-kira 2.7 juta pelajar dari sekolah rendah yang dikendalikan kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dijangka mendapat manfaat daripada program tersebut. Kementerian Pendidikan belum mengumumkan berapa banyak kos bagi program tersebut.
Hari ini, Kumpulan Tindakan Melaka bagi Ibu Bapa Dalam Pendidikan (Magpie) mempersoalkan penyediaan sarapan percuma kepada semua murid sekolah rendah, mengatakan ia mungkin lebih baik memenuhi keperluan mereka yang lebih memerlukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.