PETALING JAYA: Sambutan Hari Raya Aidiladha pastinya berbeza bagi setiap negara, namun pekerja asing yang mencari rezeki di Malaysia sudah pasti merasai suatu pengalaman yang berbeza.
Seorang pekerja warga Bangladesh, Abu Hayat yang ditemui FMT berkongsi pengalamannya menyambut Aidiladha di Malaysia.
Abu, 39, yang sudah menetap di Malaysia selama 12 tahun bermula sebagai pelajar di Universiti Putra Malaysia dan kini bekerja sebagai konsultan pekerja asing berkata sambutan Aidiladha di Malaysia dan Bangladesh tidak jauh beza terutama dari segi masakan daging korban.
“Dekat sana ada juga masakan kari dan ‘ala-ala’ seperti rendang. Tetapi di sana juga ada masakan seperti daging kurma.
“Jadi saya juga akan mengikuti aktiviti korban di masjid dan akan mendapat daging korban di masjid kawasan rumah saya di Serdang,” katanya.
Abu berkata walaupun sudah lama tidak pulang menyambut Aidiladha di Bangladesh selepas ketiadaan ibu bapanya, dia tetap merindui kampung halaman.
Katanya, setakat ini apabila menjelang Aidiladha dia akan mendapat cuti daripada majikannya.
Bagaimanapun dia akui ada majikan yang tidak memberi cuti kepada pekerja asing dari Bangladesh dan tidak membayar gaji sepatutnya jika mereka bekerja pada Hari Raya.
“Sepatutnya mereka perlu dibayar gaji setimpal ataupun majikan memberikan cuti kepada mereka. Namun itu hanyalah segelintir, kerana kebanyakan pekerja Bangladesh yang bekerja di kilang biasanya cuti sebab kilang mereka tutup,” katanya.
Abu berkata jika ada kelapangan di Hari Raya, dia akan melepak bersama kawan-kawan di restoran makanan Bangladesh di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Ada komuniti Bangladesh akan melakukan aktiviti di sana sambil menikmati juadah makanan di restoran itu,” katanya.
Dia juga gembira dapat melihat suasana sambutan Aidiladha di Malaysia kerana mengingatkannya dengan sambutan perayaan di kampung halaman.
“Saya suka lihat rakyat Malaysia sanggup bersesak di jalan raya untuk pulang bagi yang balik kampung yang jauh seperti di Terengganu dan Kelantan.
“Di Bangladesh juga begitu mereka, sanggup bersesak di jalan raya untuk pulang ke kampung halaman mereka,” katanya.
Daging korban jadi sate
Sementara seorang lagi pekerja asing, Suherman Surkam yang sudah bekerja selama 8 tahun di Malaysia berkata dia merasai perbezaan sambutan Aidiladha segi masakan.
Suherman, 35, yang berasal dari Indonesia dan bekerja di sebuah stesen minyak di Kampung Chreas Baru berkata di tempatnya, daging lembu korban yang diterima kebanyakannya akan di bakar menjadi sate.
“Rata-rata di Indonesia begitu, mereka akan cincang daging itu dan membuat sate. Kalau penduduk kampung di Jawa Barat, mereka akan makan sate bersama sambal kicap.
“Jadi apabila dapat daging korban di sini, kita juga akan bakar daging itu untuk dijadikan sate dan makan bersama kawan-kawan di sini,” katanya ketika ditemui FMT.
Suherman juga berkata dalam tempoh 8 tahun ini, dia tidak pernah pulang ke Indonesia dan akan menyambut Aidiladha di sini.
Selain itu, katanya, perbezaan sambutan Hari Raya Aidiladha di Indonesia adalah lokasi melakukan upacara korban.
“Jika di sana, kebanyakannya akan dilakukan di rumah masing-masing dan tidak harus dilakukan di masjid,” katanya.
Suherman yang berasal dari Jawa Barat, Bandung bercerita 5 tahun pertama di Malaysia dulu, dia sedih terkenang keluarga yang jauh menjelang Aidiladha.
Dia yang mempunyai 2 anak di Indonesia berkata dia akan menelefon isteri dan anaknya di Indonesia setiap hari bagi mengubati kesedihan itu.
Katanya, tahun ini merupakan pertama kali dia merasai cuti pada Hari Raya Aidiladha, itupun kebetulan dia bercuti pada Ahad.
“Selalunya saya akan kerja pada Hari Raya Aidiladha tetapi akan keluar solat bergilir dengan rakan sebab stesen minyak tempat saya kerja mesti dibuka dan tidak boleh ditutup.
“Jadi biasanya lepas balik kerja, saya akan bakar sate dan berjumpa dengan kawan-kawan di rumah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.