PUTRAJAYA: Pendaftaran kontraktor G1 (Bumiputera) akan dibuka semula pada 1 Sept ini setelah 14 tahun pendaftarannya dibekukan, kata Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua kementerian itu berkata, Jemaah Menteri juga setuju supaya had nilai penawaran kerja-kerja kerajaan yang ditawarkan kepada Kontraktor G1 (Bumiputera) dikaji semula.
Mengenai pendaftaran kontraktor dibuka semula yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 14 Ogos itu, menurutnya, ia akan memberi peluang kepada kontraktor baru Bumiputera terutamanya generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam industri pembinaan, khususnya dalam mengendalikan projek kerajaan.
“Kerajaan berpandangan adalah wajar pendaftaran kontraktor G1 (Bumiputera) dibuka semula kepada rakyat khususnya kepada golongan belia Bumiputera yang berkelayakan,” menurut kenyataan bersama itu.
Berdasarkan statistik terkini, jumlah Kontraktor G1 (Bumiputera) yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) adalah sebanyak 21,495 syarikat.
Menurut kenyataan bersama itu, daripada jumlah tersebut, 70% adalah Kontraktor G1 (Bumiputera) yang mempunyai rekod pendaftaran melebihi 20 tahun dan keadaan itu tidak memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera baharu untuk menyertai perolehan kerajaan.
Baki 30% lagi adalah kontraktor G1 (Bumiputera) yang mempunyai rekod pendaftaran antara 3 hingga 20 tahun mengikut bidang pengkhususan masing-masing.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, pihaknya dan agensi berkaitan akan memperhalusi had nilai penawaran kerja-kerja kerajaan kepada kontraktor G1 (Bumiputera) dengan mengambil kira kesan kenaikan kos dalam pelaksanaan projek semasa kerajaan.
“Kajian ini bagi memastikan keutamaan dan pengukuhan penyertaan Bumiputera dalam perolehan kerajaan dari segi nilai perolehan kontrak serta dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum tanpa menjejaskan ekosistem industri pembinaan negara selaras dengan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.