`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 2, 2019

Sastera Melayu ‘dirampas’ agamawan antara punca budaya Malaysia gagal, kata penulis


Faisal Tehrani berkata antara dilema sastera kebangsaan ialah mengenai kedudukan karya-karya bukan Melayu oleh rakyat Malaysia.

LANGKAWI: Usaha mengangkat sastera Melayu sebagai sastera kebangsaan temui kegagalan apabila budaya kebangsaan “dirampas” Islamis, kata karyawan dan penyelidik, kata novelis dan penganalisis sastera Mohd Faizal Musa.
Faizal, yang lebih terkenal dengan nama penanya Faisal Tehrani, berkata budaya kebangsaan seperti mana diilhamkan pada 1971 kini tidak lagi berada di atas landasan asal.
Beliau merujuk Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang turut disertai seniman P Ramlee, sejarawan Khoo Kay Kim dan wartawan A Samad Ismail.
“Apa yang dibincangkan pada 1971 itu sama sekali belum dicapai pada 2019. Bukan sahaja tidak dicapai malah jauh tersasar,” kata Faisal dalam ucaptama di Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara anjuran bersama Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Perlis di sini hari ini.
Faizal, yang juga felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, memetik ucapan perdana menteri ketika itu Abdul Razak Hussein pada kongres itu.

Faisal Tehrani.

Menurutnya, kongres itu bercita-cita untuk menggubal satu identiti bangsa Malaysia dengan mengambil kira semua kaum dan agama, berdasarkan Rukun Negara yang diperkenalkan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Tetapi Faizal berkata tempias pengaruh golongan agamawan Islam yang semakin meningkat turut terkena pada identiti budaya dan produk seni Melayu.
Katanya, sastera Islam merupakan genre kecil, tetapi mendapat tempat yang sangat signifikan sehingga ia sinonim dengan sastera kebangsaan.
Dalam ucapannya, Faisal berkongsi kisah seorang pelajar berketurunan India yang memberitahunya dia tidak membaca sastera Melayu kerana tidak selesa dengan tema agama termasuk kandungan yang menjurus kepada dakwah dan istilah Arab.
“Bagaimanakah rasanya jika orang Melayu harus membaca teks-teks sastera wajib di sekolah yang penuh dengan elemen kehinduan?” soal Faizal, penulis 7 judul yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Beliau berkata sastera Islam jadi lebih sengit jika ia tidak menekankan inti ajaran agama dan tidak membincangkan isu seperti nasib masyarakat tertindas, rasuah, feudalisme negatif, sektarianisme dan hak asasi manusia.
“Sastera Islam kekal dalam cinta kopiah dan kasih jilbab dan dihias sapaan salam, astaga, basmalah dan acah seks yang penuh kias,” katanya.
Faizal berkata antara dilema sastera kebangsaan ialah mengenai kedudukan karya-karya bukan Melayu oleh rakyat Malaysia.
Walaupun bahasa Melayu bahasa kebangsaan, terdapat banyak bahasa ibunda di Malaysia seperti bahasa-bahasa Bumiputera lain, Mandarin dan Tamil, serta pengarang yang membesar dengan bahasa Inggeris.
“Sastera ekspresi rasa, fikir, ilmu dan budaya. Jika itu semua lahir dari rahim bahasa bukan Melayu, apakah ia sastera bukan kebangsaan?” katanya.
Beliau turut membayangkan reaksi orang ramai sekiranya pengarang Malaysia yang menulis dalam bahasa bukan Melayu meraih anugerah kesusasteraan antarabangsa.
“Adakah mereka akan dianggap seorang sasterawan Malaysia? Atau adakah pada waktu itu, kita akan terhegeh-hegeh mengaku yang mereka adalah ‘kita’?” tanya beliau.
Faizal memetik Prof Mohd Taib Osman di Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menyarankan sastera tradisional Bumiputera seluruh Malaysia dihimpunkan, karya rakyat yang menulis dalam bahasa bukan Melayu diterjemah dan diterbitkan, dan hasil kesusasteraan Malaysia difilemkan.
“Berapa banyak teks Iban, Dayak, Sulu, Senoi telah kita kumpulkan sejak 1971?” katanya.
“Kita tidak pun menterjemah karya sastera Mahua, atau sastera Tamil atau karya sastera Inggeris tulisan Bernice Chauly atau Dina Zaman misalnya ke dalam bahasa Melayu. Padahal, mereka juga orang Malaysia.”
Sastera Malaysia, katanya, harus memupuk perpaduan nasional, dan bukan dipromosi menurut kebudayaan dan kepercayaan satu-satu kaum. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.