`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 5, 2019

Seni kaligrafi Cina, Tamil telah lama dilaksanakan di sekolah, kata NUTP

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan berkata, pengenalan seni tulisan jawi adalah bertujuan untuk menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara dan tidak wajar dijadikan isu sehingga mengundang kontroversi.
PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini berkata, selain tulisan jawi, murid sekolah telah mengenali seni tulisan Cina dan Tamil sejak ia dilaksanakan kepada murid Tahun 1 pada 2011.
“Untuk makluman murid telah mula mengenali seni tulisan jawi, seni tulisan Cina dan seni tulisan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan kepada murid Tahun 1 mulai tahun 2011 dan pada tahun 2015, dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan di bawah tema “Menghargai Budaya Bangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, setiausaha agung NUTP Harry Tan berkata, pengenalan seni tulisan jawi adalah bertujuan untuk menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara dan tidak wajar dijadikan isu sehingga mengundang kontroversi.
Beliau berkata, tahun ini merupakan tahun semakan KSSR Tahun 4, justeru meminta supaya proses itu dibenarkan dijalankan oleh golongan profesional bagi mencari jalan supaya pembelajaran seni tulisan itu tidak membebankan murid di samping memupuk gaya penulisan yang indah.
Kenyataan Harry muncul berikutan kontroversi yang tercetus berhubung langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan baru-baru ini.
Setiausaha Agung NUTP Harry Tan.
Berikutan bantahan banyak pihak, termasuk pertubuhan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan langkah itu dengan berkata, ia bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.
“Perancangan tulisan khat ini dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014. Usaha ini juga melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Dong Jiao Zong berkata, ia tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum, sebaliknya mempersoalkan kaedah yang digunakan oleh pihak kementerian dalam isu itu.
Berikutan mesyuaratnya hari ini Dong Jiao Zong meminta Kementerian Pendidikan menangguhkan pelaksanaan langkahnya itu.
Dalam satu kenyataan bersama dengan 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina lain ia berkata, kementerian perlu memberi penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, meminta kementerian berkenaan mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana tulisan jawi akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.