PETALING JAYA: Ketua PPBM bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini menyerahkan kepada masyarakat setempat dan pucuk pimpinan parti untuk menilai sama ada beliau layak atau tidak dilantik sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Karmaine berkata, tidak dinafikan ada suara-suara daripada akar umbi dan ahli jawatankuasa PPBM Tanjung Piai yang memintanya menjadi calon memandangkan beliau merupakan penggerak awal parti itu di kawasan berkenaan.
“Saya penggerak awal PPBM Tanjung Piai, saya bermula pada ketika tidak ada sesiapa mahu memakai baju warna merah (warna rasmi bendera PPBM). Bahkan rakan-rakan dari parti Umno juga ketawakan pada waktu itu, namun saya ambil sebagai cabaran.
“Menjadi amalan biasa pemimpin meminta nama dari peringkat bahagian bagi dipertimbangkan menjadi calon. Setakat ini PPBM bahagian Tanjung Piai belum adakan mesyuarat rasmi tetapi AJK bahagian sudah nyatakan mereka mahukan saya, tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan menilai,” katanya kepada FMT.
Nama Karmaine muncul selepas penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff melihat potensinya untuk dipilih mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi PRK kali ini. Karmaine adalah anak tempatan yang diterima baik rakyat namun tewas 833 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Maslan pada PRU14 di Parlimen Pontian.
Terdahulu, Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin berkata, PH belum lagi memutuskan nama calon yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada PRK bulan depan. Bagaimanapun, mengakui ada beberapa nama dilihat berpotensi dipilih sebagai calon.
Karmaine berkata, pucuk pimpinan perlu melakukan pertimbangan sebaik mungkin dan mencadangkan kepada parti untuk memilih calon tempatan bertanding di kawasan berkenaan. Menurutnya, calon dipilih juga haruslah mempunyai rekod kerja yang baik.
“Wajar calon tempatan dipilih kalau calon luar yang dipilih, ia akan menjadi sedikit sukar kerana perlu perkenalkannya kepada rakyat tempatan di Tanjung Piai. Ia sudah jadi satu kekurangan, tetapi kalau calon tempatan yang sudah dikenali, ia menjadi lebih mudah.
“Begitu juga dengan rekod kerjanya di kawasan ini. Janganlah apabila tidak ada rekod, kemudiannya tiba-tiba dipilih dan bertanding. Maka susah sikit untuk kita yang berada di bawah. Perkiraan seperti itulah yang perlu diambil pucuk pimpinan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang turut berharap PH akan memilih calon tempatan. Menurutnya, calon tempatan memberi kelebihan kepada PH disebabkan mempunyai pengaruh dan rata-rata pengundi akan suka.
Menurut Karmaine, semasa PRU14 lalu beliau sepatutnya bertanding di Parlimen Tanjung Piai, namun pucuk pimpinan parti pula berpandangan adalah lebih baik beliau bertanding di Parlimen Pontian, memandangkan tidak ada calon sesuai dan dikenali pada ketika itu.
“Maka saya diletakkan di sana (Pontian) dan Md Farid (Md Rafik) diletakkan di Tanjung Piai,” katanya.
PRK Tanjung Piai yang dijadualkan pada 16 Nov ini diadakan berikutan kematian Farid akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.
Kerusi Tanjung Piai secara tradisinya menyaksikan pertembungan MCA dan DAP, tetapi DAP menyerahkan kerusi itu kepada PPBM pada PRU14 yang menyaksikan Farid bertanding buat kali pertama dan memenangi kerusi tersebut.
Farid menang dengan majoriti 524 undi, menewaskan penyandang dari BN, Wee Jeck Seng yang memperoleh 20,731 undi serta calon PAS, Nordin Othman yang meraih 2,962 undi. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.