Abdul Hadi Awang, FMT
Mafia dinamakan “La Cosa Nostra” dalam bahasa Itali atau makna “urusan kami” adalah pertubuhan haram yang menjalankan kegiatan jenayah dan keganasan di Sicily dan Amerika Syarikat.
Mafia pada awalnya merupakan nama sebuah organisasi orang-orang di Sicily pada Zaman Pertengahan untuk tujuan perlindungan dan perlaksanaan undang-undangnya sendiri.
Pengaruh kumpulan-kumpulan Mafia melebarkan sayap ke benua Amerika selepas berlakunya penghijrahan beramai-ramai rakyat Itali pada abad ke-20.
Saya ingin menarik perhatian masyarakat yang cintakan keamanan dan keselamatan supaya melakukan muhasabah terhadap beberapa undang-undang Malaysia Baru yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan, yang dikatakan melakukan reformasi yang menjadi slogan yang dilaungkan oleh pemimpin utama mereka, atas nama konsep kebebasan hak asasi manusia dan demokrasi.
Namun kelihatan sangat nyata berkiblat ke arah Barat, sehingga menghakiskan sifat kemanusiaan kepada kebinatangan dan meletakkan simpati kepada penjenayah melebihi daripada mangsa yang menyebabkan tanda-tanda kerosakan makin melarat.
Sebelum ini pernah dibincangkan undang-undang guru disiplin tidak boleh merotan murid, kerana dipengaruhi dengan konsep dan takrif merotan mengikut undang-undang Barat yang menyeksa, tanpa membaca dan terus melupakan hukum merotan secara Islam yang mendidik dan tidak mencederakan.
Ini disebabkan hati mereka sangat berkiblat ke arah Barat. Hasilnya ialah murid atau ibu bapa membelasah guru, dan anak menumbuk ibu bapa di rumah.
Apakah akhirnya kita meruntuhkan institusi keluarga?
Apa yang sedang berlaku di negara Barat, sehingga adanya kes jenayah membunuh kanak-kanak di sekolah dan hartawan menulis surat wasiat harta pusaka kepada anjing. Ini petanda makin merudumnya institusi keluarga dan masyarakat, kerana anak tidak lagi menghormati ibu bapa, dan jiran tidak mempedulikan sesama jirannya.
Kini, berlaku perbincangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang berkait dengan disiplin polis.
Apakah Akta Polis yang sedia ada dan Suruhanjaya Pasukan Polis yang bertanggungjawab menjaga disiplin selama ini tidak berguna dan tidak mampu ditambah baik lagi?
Maka apakah perlunya undang-undang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja pihak awam yang jahil ilmu kepolisian boleh mendisiplinkan polis tanpa mengira kelayakan iman, ilmu dan budiman, kerana terpengaruh dengan ideologi tidak beriman yang sedang merudum di negara penciptanya.
Percayalah bahawa akibatnya lebih parah daripada membatalkan tindakan merotan murid secara mutlak.
Bukanlah bermakna kita mahu polis itu bebas melakukan apa sahaja, tetapi kita tidak boleh menerima cara, pendekatan dan undang-undang yang melemahkan kehebatan pihak penguatkuasa undang-undang seperti polis yang memerlukan kehebatannya tersendiri mengikut disiplin mereka dengan batas undang-undang menentang kezaliman, bukannya undang-undang yang bersimpati dengan mereka yang melanggar undang-undang.
Sudahlah kini undang-undang tidak ada roh dan tidak ada kehebatan pada undang-undang itu sendiri, tiba-tiba pihak yang mengawasi masyarakat yang melakukan pencegahan pula dikepung dengan cara yang mengundang campur tangan oleh pihak yang tidak berkenaan.
Apakah ini laksana tikus membaiki labu?
Adakah ini juga ada kaitan dengan wujudnya makhluk perosak yang mempertikaikan tindakan polis membanteras pengaruh Tamil Eelam yang diisytiharkan haram kerana keganasannya oleh seluruh dunia, termasuk India tempat wujudnya kaum Tamil?
Bahkan saya percaya masyarakat Tamil di Malaysia juga menganggapnya sebagai pengacau di negara ini, maka wajib dibunuh pengaruhnya. Tiba-tiba ada yang menunjukkan simpati, mungkin apa yang ada dalam hatinya lebih parah lagi.
Tegasnya Islam tetap berlaku adil sehingga mengharamkan penganut Islam yang melampau menyalahgunakan hukum jihad yang mulia di sisi Allah, kerana kejahilan terhadap agama sendiri boleh merosakkan wajah Islam.
Islam turut mengharamkan amalan melampau ke atas semua termasuk musuh yang nyata, dengan hukum dosa bukan hanya tindakan undang-undang oleh kerajaan.
Apa yang perlu diberi perhatian ialah jangan menyalahgunakan demokrasi, laksana senjata yang diserahkan kepada penjenayah dan penyamun, bukan senjata untuk menegakkan keadilan yang sebenar, tetapi merosakkan keamanan dan keharmonian masyarakat dan negara.
Bagi umat Islam pula diberi amaran oleh Allah dengan firmanNya:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ٢٠٥
“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204); Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan zuriat keturunan; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan”. (205) (Surah Al-Baqarah: 204-205)
Maka jangan terpengaruh dengan kalangan yang hendak memuaskan diri dan kumpulannya tanpa pandangan yang jauh dan bertindak laksana memberi jalan ke arah kumpulan mafia mengadakan undang-undang sendiri yang bersifat pengacau masyarakat. Amat malang kalau kerajaan sendiri diresapi oleh pengaruh yang sangat melampau terhadap rakyat dan negara.
Abdul Hadi Awang adalah presiden PAS.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.