`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 6, 2022

Amboi-amboi meriahnya

 

Secara peribadi saya tidak setuju calon pilihan raya datang ke pusat penamaan diiringi ratusan penyokong berarak, membawa bendera dan segala macam. Bagi saya ini hanya mencetuskan suasana tegang yang mengakibatkan maki-memaki, carut-mencarut antara kumpulan penyokong. Ada juga keganasan – lontar-melontar botol air mineral dan sebagainya. Ini pernah terjadi.

Saya berpendapat lebih baik calon datang menyerahkan kertas pencalonan hanya diiringi penyokong pencalonan mereka. Bila urusan selesai bolehlah semua calon yang lulus bertanding bergambar sebelum beredar. Semua aman.

Tetapi itu hanya pendapat saya yang tidak siapa ambil peduli. Ramai (jika bukan semua) calon khususnya mewakili parti politik suka meneruskan amalan tradisi berarak bersama puluhan atau ratusan penyokong. Seperti berlangsung pada penamaan calon PRU15 semalam.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Memang meriah. Memang panas di kebanyakan kawasan seluruh tanah air. Di Tenom, Sabah keadaan terlalu panas sehingga polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata apabila kekacauan terjadi, katanya akibat rasa tidak puas hati berhubung seorang calon.

PRU15 seperti yang dijangka menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru di hampir semua kawasan yang menjadi rebutan. Lebih 1,000 calon (mewakili gabungan atau parti politik dan calon bebas) menawarkan diri untuk menduduki 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini yang dijadual 19 Nov ini. Pertandingan pelbagai penjuru bukan perkara baharu. PRU14 empat tahun lalu menyaksikannya juga. Ada calon bebas ketika itu disyaki dibiayai parti atau orang tertentu untuk pecah undi pihak lawan. Ada juga parti yang dikatakan membuat perjanjian kerjasama secara sulit untuk menghalang kemenangan parti lawan.

Kali ini lebih banyak pertandingan pelbagai penjuru.

“Fenomena beberapa penjuru kali ini sangat menarik kerana ia berlaku dalam bentuk pakatan yang berbeda-beda berbanding sebelumnya antara parti yang berbeza,” kata Mujibu Abd Muis, felo penyelidik ilham Centre.

Kata beliau, ia bukan sahaja pertembungan koalisi siapa yang mampu menang tetapi membesarkan persaingan yang menguji hampir keseluruhan aspek parti, calon, isu, naratif, dan sebagainya.

Betul kata Mujibu. Namun kali ini terjadi si polan yang digugurkan partinya bertindak menyertai parti lawan sekaligus menjadi calon parti itu menentang parti asal. Contoh. Orang politik daripada gabungan ‘X’ tidak dipilih oleh pucuk pimpinan atas sebab-sebab hanya presiden parti dan kumpulannya yang tahu. Marah dan kecewa si polan “menyeberangi garis pemisah” dan menjadi calon parti si anu yakni gabungan lawan. Maksudnya lawan parti lama.

Ini amat menarik. Menarik juga ada orang lama yang digugurkan parti mereka berikrar menyokong calon pilihan pucuk pimpinan tetapi penyokong setianya bertindak menjadi calon bebas menentang calon parti asal sebagai menzahirkan protes bosnya tidak dipilih kali ini.

Realitinya ada elemen balas dendam dalam kalangan calon, demi membuktikan pucuk pimpinan membuat percaturan salah dengan tidak memilih mereka. Itu antara elemen yang mendorong mereka bertanding memakai jersi lain (baca jersi musuh).

Apa pun menurut Mujibu, pertandingan pelbagai penjuru pada satu sisi bagus untuk pendemokrasian. Sisi negatif pula kata beliau, “pertembungan sebegini akan menajamkan aspek persaingan berbanding perwakilan itu dalam konteks demokrasi.”

Kata beliau, kadang-kadang ini lebih memberikan impak kepada pengundi itu sendiri berbanding parti lalu “jadi menyampah, letih, dan kalut dengan situasi semasa.”

Bagi Pengerusi BN, Zahid Hamidi, PRU15 “ibu segala pilihan raya”. Kata Jahabar Sadiq, pengendali The Malaysian Insight, ini mungkin “ibu segala pilihan raya” buat BN yang lama memerintah tetapi kalah pada 2018 “sebelum bernafas semula apabila berkongsi kuasa dengan Bersatu dan PAS pada 2020”.

Menulis sehari sebelum hari penamaan calon, Jahabar berkata “tetapi sekarang nampaknya ia juga macam satu lawak jenaka. Semua gabungan yang bersaingan pada PRU15 seperti menggagau mencari akar selepas sudah tidak ada rotan lagi.”

Ada benar apa kata beliau.

Kata Mujibu, meskipun ada aspek positif yakni memberi pilihan atau alternatif kepada pengundi, persaingan kali ini tidak akan membawa apa-apa yang signifikan kalau budaya politik pilihan raya, kempen, jentera, serta parti masih di takuk lama yang mahu menang “at all cost” akibat persaingan ‘politik angka’.

“Pengundi akan rasa PRU tiada makna, hanya sekadar mekanisme untuk mengabsahkan kerajaan tanpa makna sebenar memilih calon atau parti berwibawa, medan rakyat melihat persaingan politik, idea yang matang dan profesional, membawa isu serta ‘need based politics rather than racial and polarized based politics’,” kata beliau.

Bagi saya, walaupun ada kepincangan, kelemahan, lawak jenaka, dan kekalutan, PRU ini satu-satunya cara yang ada bagi rakyat membuat penentuan, malah tidak ada pilihan atau cara lain.

Bak kata Mohamad Agus Yusof, cendiakawan dan pemerhati politik, sudah tiba masanya pengundi memilih tidak berdasarkan kaum dan sentimen agama sempit. Sudah tiba masa memilih berdasarkan merit, ketokohan calon, dan parti berwibawa untuk membina Malaysia yang maju.

“Parti berwibawa ialah parti yang pemimpinnya tidak korup, tidak rasis, mampu menarik keyakinan pelabur, mempunyai idea, wawasan, dan semangat Malaysia dan dapat mengangkat negara di pentas antarabangsa,” kata Agus.

Saya menyimpulkan – dalam kalangan 1,000 lebih calon mewakili gabungan politik atau sebagai calon bebas yang bertanding PRU15 ada yang wangi ada yang busuk. Pilihlah siapa memikat kalbu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.