`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 14, 2022

Disuruh pilih ‘setan’ yang kurang setannya

 

Politik kita memang unik dan tersendiri tapi bagaimanapun teori serta kajian mengenainya dibuat, akhirnya ia akan berada pada titik yang sama. Dalam menentukan menang-kalah seseorang calon atau sesebuah parti di satu-satu kawasan itu akhirnya pasti akan merujuk kepada faktor kaum juga. Pasti. Bukan dalam pilihan raya sahaja tetapi pemilihan parti politik itu sendiri jika ahlinya pelbagai kaum, akan mempengaruhi keputusan juga.

Tidak mudah untuk memecahkan batu ini. Ia sudah disusun sejak zaman British lagi. Karat perkauman sudah tebal dan tidak mudah untuk dikikis dengan sekali kikis sahaja. Maka atas sebab itulah sebarang strategi tidak dapat tidak mesti mengambil kira faktor kaum juga. Kepentingan kaum sendiri tetap menjadi agenda walaupun ada parti mendakwa mereka majmuk dan menjunjung kesamarataan.

Mari lihat kes ini. Seorang kawan saya pernah bersungut tentang bapanya, seorang yang berpendidikan tinggi bergelar doktor tetapi disifatkan oleh kawan saya sebagai kolot kerana biarpun berada dalam kelas profesional tetapi ideologi politiknya tetap ‘alif ba ta’. Agama, bangsa, dan tanahair. Kawan saya ini yang menolak parti politik berasaskan perkauman berasa kesal kenapa bapanya yang bergelar doktor kelihatan sama fikirannya dengan Pak Leman Kampung Paya Kelubi yang totok. Pak Leman penyokong parti politik yang melaungkan ketuanan bangsa. Di manakah letaknya titik pertemuan persamaan idealisme di antara seorang pemikir masyarakat, yang kalau ditinjau bilik bacaannya penuh koleksi buku-buku hebat hingga kita boleh tenggelam di dalamnya, dibandingkan pula dengan seorang pekebun kecil yang di bakul motosikalnya ada balang penuh cacing tanah buat umpan memancing? Samakah mereka?

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ada bezanya. Apakah seorang peguam dan seorang kerani pembantu am rendah dinilai sama hanya kerana kedua mereka gemar memakan lontong? Tidak. Maaf, jangan silap faham. Saya tidak bermaksud untuk meletakkan nilai seorang insan melalui kerjaya atau tahap pendidikan mereka. Itu bukan tujuan perbincangan kita ini.

Saya sedang mengapungkan satu persoalan. Ini kerana kita sendiri sebenarnya selalu menimbulkan hal sedemikian apabila kita tidak menyelami dengan bersungguh perbezaan di antara mereka. Kita mudah sahaja membuat telahan yang mereka ini ‘sama bodoh’ hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kita. Sama ada professor atau petani jika berfikiran sama, tak seperti kita maka mereka itu memang sempit. Nanti dulu!

Ada dua jenis golongan kalau kita hendak cerita tentang pemegang fahaman politik ketuanan bangsa, agama, dan tuan tanah ini.

Golongan pertama memang tanpa berfikir dua kali terus sahaja bertegas yang merekalah tuan tanah, tuan rumah di negara ini dan mesti mempertahankannya daripada ‘pendatang’. Pendatang bermaksud orang luar walaupun mereka sudah beranak-pinak dan lahir di sini dua tiga generasi tetapi mereka tetap dianggap sebagai pendatang. Mereka boleh tinggal di sini, bekerja di sini, berniaga mencari rezeki tetapi tidak boleh dibenarkan memegang kuasa. Jika tidak, tuan tanah akan hilang hak dan keistimewaan. Bagi golongan ini memang terus sahaja berfikir begitu, tiada tapis-tapis lagi sebab itu yang difahamkan kepada mereka. Mereka telah dieksploitasi. Pemimpin parti yang mereka dokong telah berjaya menerap semangat ketuanan ini kepada mereka dengan jayanya. Mereka telah dibakar dan mereka kekal terbakar seperti itu.

Golongan kedua pula memang golongan yang berpendidikan tinggi. Mereka ini ada yang berpengalaman menyertai pelbagai persatuan, terdedah dengan politik serta isunya, dan sentiasa berwacana, menelaah juga menganalisis. Mereka tahu isu rasuah, kronisme, skandal, ekonomi, dan isu-isu politik semasa tetapi akhirnya mereka menemui keputusan bahawa pilihan utama mesti dibuat. Berdasarkan pengamatan mereka maka prioriti mereka ialah akhirnya wajib mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Aneh? Berdebatlah, keluarkanlah fakta apa sekalipun kepada mereka tetapi mereka sudah tetap dengan keputusan mereka. Prioriti!

Inilah hakikatnya. Keputusan yang sama oleh dua golongan yang berbeza latarnya. Kolot? Jumud? Apakah mereka tidak hairan dengan kerosakan negara akibat rasuah dan buruknya pemusatan kuasa? Nanti dulu.

Kita lihat pula parti politik ‘satu lagi’ di mana pemimpinnya berjaya meyakinkan penyokong mereka tentang salah laku rasuah menteri-menteri dari parti pemerintah. Slogan perasuah, penyamun dilaungkan untuk menggambarkan betapa jijiknya pelaku rasuah. Pembongkaran demi pembongkaran dibuat untuk meyakinkan penyokong dan rakyat bahawa negara ini sedang menuju kehancuran dan mesti diselamatkan. Mereka datang dengan imej wira yang ingin menyelamatkan negara dari barah rasuah yang sudah sampai ke tahap serius. Mereka anti-rasuah!

Tetapi pada satu-satu masa mereka boleh pula menerima mana-mana ahli politik daripada musuh mereka yang dikaitkan dengan rasuah itu apabila ahli-ahli itu lompat parti. Pada satu-satu ketika pula mereka bergabung membentuk jaringan walhal sebelum itu bertahun-tahun sosok tersebut dikatakan oleh mereka ‘bapa rasuah’, ‘bapa kronisme’, ‘pengamal nepotisme’.

Jadi adakah mereka semua ini orang yang sama baik dahulu mahupun sekarang dalam menilai kejijikan rasuah? Apakah rasuah memang benar-benar bahaya jika pelakunya berada di kem musuh tetapi tidak ada apa-apa jika berada di dalam selimut sendiri? Bolehkah jenayah rasuah seseorang itu dipadamkan terus apabila dia bersama kita? Tiba-tiba dia menjadi suci, menjadi wira ingin turut sama menyelamatkan negara yang sebelum ini dialah yang dicanangkan sebagai kepalanya? Ini juga aneh, bukan?

Itulah yang saya kata pada awal tadi. Kita akhirnya akan balik ke titik yang sama selepas puas merayau-rayau mengkaji sebuah penyelesaian. Maknanya semua kita’ sama ada kita ini jenis terus menerima ataupun kita ini jenis mengkaji jauh ke dalam, akhirnya tetap menjadi sama. Kerana siapa pun kita, apa kerja kita – kita masing-masing ada hak untuk satu undi. Satu undi itulah, dengan apa yang telah kita fahami itulah akan menentukan hala tuju negara.

“Habis, bagaimana?” tanya kawan saya.

“Kau ingat PRU yang lalu ada pemimpin gerakan NGO yang cukup berpengaruh telah menganjurkan kita supaya memilih ‘lesser evil’?” jawab saya.

“Itulah sebuah pengiktirafan. Maknanya semuanya sama sahaja. Sama setan (evil),” kata saya lagi dengan disusuli ketawa yang tak dapat ditahan, “tapi kita disuruh pilih setan yang kurang setannya,”.

Kami berdua ketawa. Selamat mengundi! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.