`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 9, 2022

Fasih berbahasa Melayu, calon BN Taiping hidupkan semangat perpaduan pelbagai kaum

 

Calon BN, Neow Choo Seong mendekati pengundi ketika berkempen di pasar pagi di Taiping.

TAIPING: Walaupun berbangsa Cina dan membesar di bandar Taiping, Neow Choo Seong, calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Taiping langsung tidak kekok berbahasa Melayu, malah kepetahannya berbicara menggunakan bahasa ibunda negara menarik perhatian sesiapa saja yang mendekatinya.

Berpeluang menemui beliau ketika kempen di sekitar Taiping, bekas pegawai tadbir dan diplomatik berusia 37 tahun itu berkata semangat perpaduan dan kebersamaan sebagai bangsa Malaysia yang diajar orang tua dari kecil agar tidak membezakan antara kaum, membuatkan pemimpin muda MCA itu taruhan terbaik untuk mewajahkan semula Taiping yang dilihat suram sejak sedekad ini.

“Saya dibesarkan dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang tebal. Saya membesar dan bergaul dengan orang Melayu dan India, itu mungkin satu rahmat saya diajar dan dididik oleh ibu bapa saya, kita kena bersama-sama.

“Mungkin kita sebagai satu-satu kaum boleh bergerak sendirian, tetapi perpaduan bagi saya adalah elemen paling penting untuk Malaysia. Bagaimana kita bergerak sejak zaman kemerdekaan, tonggak utama adalah perpaduan – tanpa perpaduan takkan ada keamanan dan kesejahteraan,” katanya kepada FMT.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Bapa kepada dua anak itu tidak bersetuju dengan naratif pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang menghidupkan sentimen perkauman untuk mendapatkan kuasa, kerana baginya itu hanya akan meletakkan Taiping jauh terkebelakang.

Sentimen perkauman beri kesan kepada pembangunan

“Kita dapat melihat permainan sentimen perkauman politik perpecahan daripada pembangkang banyak beri kesan kepada pembangunan negara.

Neow Choo Seong yang bertanding di kerusi Parlimen Taiping tidak bersetuju dengan naratif pemimpin PH khususnya DAP yang menghidupkan sentimen perkauman untuk mendapatkan kuasa.

“Kita tak pernah dapat melihat sebuah negara yang kacau-bilau boleh bergerak ke hadapan. Inilah permainan mereka, mereka mahukan kuasa politik tetapi tidak mahukan kemajuan dan pembangunan,” katanya.

Mengorbankan khidmatnya selama 13 tahun di Wisma Putra dan bertugas di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan China, langsung tidak disesalinya.

Baginya, kemajuan dan keharmonian yang didambakan oleh anak muda di bandar warisan ini menjadi tekad untuknya menabur bakti membawa limpahan ekonomi kepada Taiping yang semakin “tenggelam” selepas 15 tahun dijajah DAP.

“Bagi saya ekonomi adalah tunjang utama, sebagai bandar warisan kita perlu membangunkan (bandar) ini semula. Kita dah lihat 15 tahun Taiping banyak ketinggalan berbanding bandar lain di Perak, kita lihat Taiping ini semakin ketinggalan.

“Bagi orang muda seperti saya, saya nakkan pembangunan. Ini melibatkan masa depan kita jadi kita harus bertanggungjawab,” katanya.

Ikrar ganda pelaburan asing jika dipilih ke Parlimen

Mempunyai hubungan diplomatik dengan negara luar memberi kelebihan kepada Neow untuk menarik minat pelabur asing ke negara ini dan Taiping khususnya. Baginya, masih banyak sektor baharu yang boleh diteroka di Taiping memandangkan lokasinya di tengah-tengah pusat tumpuan dan mempunyai jaringan perhubungan baik untuk aktiviti perindustrian.

Neow Choo Seong pernah bertugas di Wisma Putra dan yakin pengalamannya sebelum ini dapat membantu membangunkan ekonomi di Taiping.

“Pengalaman dengan Wisma Putra selama 13 tahun banyak membantu dan mengajar saya. Untuk menaikkan ekonomi, kitaran ekonomi dalaman tak mampu menjana ekonomi kita, kita perlukan sokongan pelaburan dari luar.

“Dengan jaringan yang saya ada, diharap mampu membantu kerajaan menarik masuk lebih ramai pelabur asing khususnya negara yang rapat dengan kita antaranya China, Singapura dan AS.

“Pengalaman saya sendiri di AS banyak membantu saya dan saya yakin dapat membawa lebih banyak pelabur asing untuk melabur di kawasan perindustrian Kamunting, Taiping, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda khususnya pakar-pakar kita di sekitar Taiping atau Perak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua itu hanya menjadi realiti sekiranya anak muda khususnya pengundi muda yang mendominasi lebih 50% jumlah pengundi memilih BN di Taiping.

“Dari segi logistik ini (Taiping) merupakan lokasi ideal untuk pelabur asing cuma kita perlukan mandat untuk bersama bangunkan Kamunting dan Taiping secara keseluruhannya,” katanya.

Pada PRU14, DAP yang bertanding di bawah panji PKR menang besar di Taiping dengan majoriti 27,384 undi menewaskan calon BN, Tan Keng Liang dan PAS, Ibrahim Ismail.

PRU kali ini, Taiping menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan DAP mempertaruhkan Wong Kah Woh, pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga bekas Ahli Parlimen Ipoh Timur.

DAP menawan Taiping daripada gabungan BN pada 2008, selepas menewaskan calon BN dari Parti Progresif Rakyat (MyPPP), M Kayveas, yang menang di kerusi itu pada PRU 2004. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.