`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 9, 2022

Kami ‘pangkah’ lepas itu turun ke laut, kata nelayan

 

Nelayan di Muar mengharapkan pemimpin yang sentiasa turun padang dan bukannya sekadar muncul ketika pilihan raya.

MUAR: Segelintir nelayan di Parit Sakai dan Parit Jawa, Muar berpendapat kebanyakan calon akan hilang selepas menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Rashid Ishak, 70, sebagai nelayan beliau sudah tidak ambil peduli siapa yang akan memimpin negara, malah baginya siapa pun yang dipilih nanti, para nelayan Muar tetap “turun ke laut” seperti biasa untuk mencari rezeki.

“Kami pangkah lepas itu turun laut. Bila cakap pasal politik ini, ‘tepuk dada tanya selera’.

“Kami ini hanya golongan ‘kais pagi makan pagi’. Kalau nak senang tidak ada. Cukup-cukup makan sahaja,” luahnya yang telah menjadi nelayan selama 30 tahun.

Menurutnya, sekiranya kerajaan mahu membantu golongan nelayan, cukuplah dengan menurunkan harga jaring untuk menangkap udang yang semakin mahal.

“Misalnya harga jaring itu harganya RM50, dapat kurangkan kepada RM30 sudah cukup membantu nelayan ini. Kami tidak minta lebih pun,” katanya ketika ditemui FMT di jeti Parit Sakai.

Sementara itu, Azwan Ibrahim, 48, berkata nelayan di Muar mahukan pemimpin yang sentiasa turun padang, dan bukannya sekadar muncul apabila tiba pilihan raya.

Beliau yang juga nelayan di Parit Jawa berkata, antara kesusahan dihadapi golongan itu adalah musim tengkujuh dan ribut.

Kamarudin Abdullah (kiri), Rashid Ishak (dua dari kiri), dan Azwan Ibrahim (kanan) sependapat bahawa parti yang membentuk kerajaan harus sentiasa peka dan prihatin kepada rakyat.

“Ketika itu nelayan tidak boleh turun ke laut. Jadi pemimpin yang menang nanti jangan turunkan pula elaun sara hidup nelayan pula.

“Seharusnya teruskan bantuan yang ada dan jaga kebajikan nelayan,” katanya.

Elaun sara hidup bulanan nelayan darat masa ini adalah RM250 manakala RM300 pula bagi nelayan laut.

Seorang lagi nelayan di Parit Jawa, Kamarudin Abdullah berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau pasti turun mengundi pada PRU15 walaupun mengetahui situasi politik masa ini tidak menentu.

Kamarudin, 58, berkata, mana-mana parti yang membentuk kerajaan harus peka dan sentiasa prihatin kepada rakyat.

“Memang sesiapa pun bila menjadi pemimpin tidak ada yang sempurna.

“Bagi saya muka baharu perlu diberikan peluang supaya kepimpinan itu lebih cekap dan rakyat tidak bosan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.