`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, November 16, 2022

Kami tak kenal calon tapi tetap akan pangkah PH, kata pengundi Gombak

 

Pengundi Gombak berbeza pandangan sama ada mahu mengekalkan Azmin Ali, yang kini bersama PN, sebagai Ahli Parlimen, atau terus memilih PH.

GOMBAK: Segelintir pengundi Parlimen Gombak mahu terus memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk merampas kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Meskipun ada yang tidak mengenali Amirudin secara dekat, namun atas kepercayaan terhadap pilihan parti itu, mereka tetap akan mengundi parti yang sama.

Yap Wei Xuan.

Seorang pengundi, Yap Wei Xuan, 20, berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mengundi parti dipimpin Anwar Ibrahim itu pada PRU15, tidak kira siapa pun calonnya.

“Saya percaya dengan pimpinan (PH) dan pilihan Anwar. Menerusi media sosial, saya dapati parti itu tidak memainkan isu perkauman demi kepentingan politik serta mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum,” katanya ketika ditemui FMT.

Seorang lagi penduduk, Teh Bee Woon, 75, berkata beliau kemungkinan besar akan mengundi Amirudin dengan imejnya selaku menteri besar yang lebih mesra rakyat, selepas “dikhianati” oleh calon Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali yang sebelum ini mewakili PKR.

“Sungguhpun saya tidak begitu kenal dia (Amirudin), tapi saya tengok imejnya lebih peramah,” katanya.

“Apa yang boleh saya kata, saya pasti tak akan mengundi Azmin lagi. Rasa hampa dengan Azmin. Kami sokongnya setiap kali pilihan raya, beliau jadi ‘katak’ pula.

“Tiada orang akan sokong beliau (Azmin) lagi dengan sikap sebegini. Rakyat sudah meletakkan kepercayaan kepadanya tetapi beliau tukar parti selepas menang pada PRU sebelum ini. Itu tak betul.”

Menurut Teh, prestasi Azmin sangat bagus ketika bersama PKR, namun hala tujunya kini berubah.

Marini.

Bagaimanapun, seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Marini, 65, berkata beliau tetap akan menyokong Azmin.

Beliau tidak mempedulikan isu pengkhianatan yang dibangkitkan orang ramai kerana sering melihat Azmin turun padang sejak menjadi Ahli Parlimen.

“Bagi saya, saya kekal sokong Azmin sahaja. Kalau insya-Allah beliau dapat menang pada PRU15, harap dapat tolong tambah baik isu kenaikan harga barang yang mendadak kini, peniaga susah berniaga,” katanya.

Sementara itu, pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Hozo, 21, berkata beliau masih ragu-ragu sama ada ingin mengundi atau tidak kerana belum dapat membuat keputusan memilih mana-mana parti.

Bagaimanapun, beliau berharap wakil rakyat yang akan dipilih nanti sentiasa membantu memperjuangkan isu rakyat, bukan semata-mata turun padang pada musim pilihan raya, kemudian tidak lagi menunjukkan muka.

“Azmin bagus tetapi selepas menjadi menteri, terus macam tak nampak (muka),” katanya.

“Sebelum ini, beliau dengar isu rakyat. Tapi kali ini, tengok macam mana lah. Beliau sendiri lompat sana lompat sini. Saya pun tak tahu.”

Pada 2018, Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR menang dengan majoriti 48,721 di kerusi itu.

Bagaimanapun, beliau dipecat PKR pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton dan kemudian menyertai Bersatu pada Ogos tahun sama.

Pada PRU kali ini, Azmin bakal berdepan persaingan lima penjuru dengan pencabar terkuatnya, Amirudin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.