`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 24, 2022

Majlis diraja Wakanda

 

Bahagian kedua ‘Black Panther: Wakanda Forever’ akhirnya membuka panggung dan memberikan kekuatan wacana luar biasa di peringkat pembinaan naratif dan dramaturgi. Siri kedua memaparkan T’Challa, raja adil dan bijaksana dari Wakanda, meninggal dunia oleh satu ‘penyakit’ dan gagal diselamatkan. Suri, adinda T’Challa, berusaha menjelmakan semula herba magis berbentuk hati yang dimusnahkan oleh sepupu mereka, N’Jadaka. Pun, gagal.

Sejak itu Suri berdepan trauma dan sukar meneruskan hidup, membawa perkabungan dalam hati. Akan tetapi Wakanda, sebuah negara kecil yang menyembunyikan kekuatan teknologi juga sedang berdepan dengan kuasa besar dunia agar mengkongsikan sumber utama negara itu: vibranium, yang nampaknya cuba dicuri.

Ratu Ramonda, perlu bertegas dan menjelaskan pendirian negaranya bahawa memiliki vibranium untuk manusia yang tamak hanya akan membawa sengketa. Vibranium kuasa luar biasa yang seperti diperkenalkan kepada kita dalam sekuel pertama, boleh memberi apa sahaja. Ramonda cuba menyabar dan menenangkan politikus peringkat global yang sangat inginkan kuasa. Idea baginda mudah, kuasa vibranium tidak boleh jatuh ke tangan orang salah. Tampuk pemerintahan jika diberi kepada kuasa ekstrem akan menjahanamkan seisi dunia.

Pun negara besar dunia tidak peduli sama ada Wakanda ingin berkongsi atau tidak. Gerakan CIA dan bala tentera laut Amerika Syarikat menumpu di Lautan Atlantik, di mana dipercayai terdapat sumber vibranium dalam laut. Dalam Wakanda Forever, berkali-kali AS secara sengaja dan selamba dirujuk sebagai kuasa penindas dan kolonialis menjadikan filem ini bernaratif segar dengan tujuan membebaskan bangsa tertindas.

Usaha AS melombong vibranium di dasar laut membawa kita kepada sebuah lagi nusa bangsa orang tertindas, iaitu negara Talokan yang dipimpin Raja Namor. Baginda, seorang raja yang amat obses melindungi rakyat sejak menyaksikan bagaimana peradaban Maya di Amerika Latin diratah ratus tahun lalu. Namor kini cekal memburu pencipta alat pengesanan vibranium tersebut, Riri Williams seorang pelajar MIT. Wakanda yang percaya Vibranium hanya ada di negara mereka tiba-tiba tersedut ke dalam krisis di mana mereka ingin melindungi Riri.

Maka berlakulah konflik antara negara kecil, iaitu Wakanda dan Talokan. Negara bawah air Talokan dihuni puak ekstrem (meski indah) yang ingin melindungi identiti agama dan bangsanya. Terasing dan selalu berada di luar lingkungan, Talokan menuntut Wakanda menjadi sekutu sebagai sebuah kerajaan perpaduan yang boleh menghalang penguasaan manusia terhadap vibranium.

Ramonda dan kemudiannya Ratu Suri melihat ini sebagai perikatan inter-nasional yang boleh membawa kepada keganasan dan peperangan. Ini kerana retorik Talokan adalah kemusnahan. Ratib Raja Namor dan Talokan adalah manusia itu harus dihancurkan.

Wakanda bagaimanapun lebih melihat negara di dunia harus didamaikan, dengan cara dialog, dan bertegas bila perlu. Sebuah negara bersifat inklusif; yang Talokan pula memilih jalan bencana.

Dek enggan menyertai perikatan tawaran Talokan, Wakanda diserang dengan dahsyatnya membawa kepada kematian tragis. Rakyat yang tidak bersalah diperjudikan. Majlis diraja Wakanda bersidang dan cuba secara bijaksana memberi jalan keluar di mana seorang wira, Black Panther mesti dicari. Tidak ada siapa antara raja-raja itu menyedari bahawa perwira tersebut tidak jauh dari mereka. Iaitu Suri.

Akan tetapi terdapat banyak pengajaran lain dari Wakanda Forever, misalnya bukan mudah untuk Ramonda memecat dan mendesak jeneral terkenalnya, Okoye. Akan tetapi panglima perangnya itu telah gagal maka Ramonda tiada pilihan lain. Hanya mujur sebagai pemimpin gagal, Okeye itu sedar. Tidak semua pemimpin gagal akan sedar dan bergabung dalam satu perpaduan demi bangsa negaranya.

Wakanda Forever memberikan kita plot anti-kolonialisme yang hebat dan mendalam. Dari segi plot dan naratif ia teratur dan begitu berkesan sekali. Ada banyak rujukan mengenai bangsa tertindas dan bagaimana bangsa harus merdeka dan bersikap. Terdapat momen indah untuk katarsis, dan wacana untuk direnungi buat audien yang ingin berfikir dan menganalisa. Dari segi lakonan, Angela Basset sebagai Ramonda demikian menonjol kekuatannya dan merupakan tunjang utama filem ini menenggelamkan watak Shuri lakonan Letitia Wright. Kepedihan kehilangan anakanda dan keterdesakan sebagai seorang ratu yang mengawal negaranya amat terserlah.

Seperti biasa kekuatan filem aksi Marvel ini adalah kostum luar biasa yang berwarna-warni dan melongokan. Ruth E Carter cuba mengangkat pakaian keluarga diraja dan rakyat negeri magis Wakanda dan negeri bawah air Talokan. Pilihan warna dan rumbu-rambanya begitu tepat. Salah satu busana indah yang menggegar dipakaikan kepada tubuh Ramonda ketika bertemu menantunya di Haiti. Selain busana elegan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (yang secara sedar bukan di New York, tetapi di Geneva).

Ada banyak teladan dari Wakanda Forever arahan dan tulisan Ryan Coogler ini. Filem 161 minit ini memberikan kita kefahaman betapa pentingnya seorang raja menjadi adil. Jika tidak kelak dibenci rakyat. Juga kepentingan perpaduan, dan menolak ekstremisme. Akhirnya, sikap keras, angkuh, dan berlebihan sama sekali membawa mereka yang berburu kuasa itu dalam kerugian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.