`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, November 15, 2022

Menang dua pertiga PRN Johor bukan jaminan mudah rampas Ledang, kata calon BN

 

Hamim Samuri berkata sokongan bukan Melayu terhadap BN di Ledang kembali meningkat disebabkan ramai yang berasa tertipu dengan janji PH termasuk mahu menghapuskan pinjaman PTPTN.

TANGKAK: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Ledang, Hamim Samuri tidak menganggap kemenangan lebih dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu sebagai jaminan untuk parti itu menawan kembali kerusi tersebut dari Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana katanya, peratusan keluar mengundi ketika itu adalah rendah dan tidak boleh dijadikan sebagai ukuran bahawa mereka akan menang mudah pada pilihan raya umum kali ini.

“Ramai tak keluar mengundi pada waktu itu (PRN), disebabkan pelbagai masalah termasuk Covid-19 dan lain-lain isu.

“Tapi saya berharap sokongan kepada BN akan terus meningkat sekalipun jumlah pengundi yang keluar lebih ramai kali ini,” katanya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Pada masa yang sama, beliau melihat sokongan bukan Melayu terhadap BN di Ledang kembali meningkat disebabkan rasa tertipu dengan janji Pakatan Harapan (PH) termasuk mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Sebelum PRU14, sokongan bukan Melayu kepada BN sekitar 40% dan berkurangan kepada tidak sampai 10% pada PRU14. Namun, sekarang sokongan kembali kepada sekitar 25% di Ledang dan peratusan itu semakin meningkat menjelang PRU15,” katanya.

Ketika ditanya mengapa masih bertanding selepas tewas di kawasan itu pada PRU14, Hamim berkata beliau mahu meneruskan segala projek yang telah diluluskan sebelum ini untuk Ledang.

“Selepas PH menang, segala perancangan projek yang dibuat zaman BN telah terhenti. Jadi, jika menang, saya akan teruskan projek pembangunan untuk rakyat Ledang,” kata bekas timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar itu.

Hamim pernah menang di kawasan itu selama tiga penggal sejak 2004 sebelum ditewaskan oleh calon PH, Syed Ibrahim Syed Noh dengan kelebihan 8,667 undi.

Parlimen Ledang menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu PH diwakili Syed Ibrahim, Hamim dari BN, Zaidi Ab Majid mewakili Perikatan Nasional (PN), Rafidah Ridwan dari Pejuang dan Yunus Mustakim serta Zainal Bahrom A Kadir masing-masing dari calon Bebas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.