`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 17, 2022

PAS aset atau liabiliti untuk PN?

 

Ikut logik Perikatan Nasional tidak sepatutnya wujud. Ia timbul hanya hasil rampasan kuasa politik yang menodai pilihan majoriti rakyat yang dibuat menerusi proses demokrasi. Tetapi dalam politik, logik kerap tidak diambil kira. Oleh itu, bertapak lah Perikatan Nasional atau singkatanya PN menjadi kerajaan buat seketika.

Pun begitu ramai yang meramalkan hayatnya tidak lama. Apatah lagi apabila kerajaan PN turut tumbang tidak lama kemudian. Pada PRN Melaka umpamanya PN tidak menang, tetapi dalam kalah berjaya menembusi kawasan lawan. “Made inroads,” kata Inggeris.

Menjelang PRU15 ini PN dilihat “gagah”. Jika beberapa kaji selidik mahu dipercayai, PN diletak di posisi kedua mendahului Barisan Nasional. Pendahulu dikatakan Pakatan Harapan. Perlu ditegaskan kajian selidik yang dimaksudkan tidak dapat disahkan, ketika artikel ini ditulis.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Namun yang diumum secara terbuka tempoh hari ialah satu kajian yang dijalankan Merdeka Centre yang mendapati PN muncul sebagai “wild card” pada pilihan raya umum ini, yakni diunjurkan mendapat sokongan mendadak pengundi Melayu.

Kata Ibrahim Suffian, pengarah Merdeka Centre, jika sokongan pengundi Melayu terus berkembang untuk PN ia boleh menjejas atau mengatasi BN khususnya Umno dalam meraih undi Melayu. Izinkan saya menyimpulkan – PN menjadi parti pilihan Melayu bukan Umno yang selama ini mendakwa merekalah parti mewakili Melayu.

“Pemenang sebenarnya ialah PAS yang kemungkinan boleh menang 70% hingga 80% undi Melayu,” kata Ibrahim.

Tidak memeranjatkan kerana PN iaitu PAS bersama Bersatu memainkan isu Melayu dalam usaha mendapat sokongan. PAS terutamanya gemar mengambil agama dijadikan isu politik.

Berdasarkan kata-kata Ibrahim, PAS seharusnya selesa dan tenang menghadapi pilihan raya ini. Memang parti itu terus berusaha keras memastikan undi Melayu datang kepadanya. Lantas sentimen bangsa dan agama ditiup kencang. Sedar atau tidak, imej PAS semakin hari semakin “hardliner”.

Sejak kebelakangan ini parti itu menyerang musuh agak keterlauan, pada hemat saya. Seakan terdesak.

Contoh, ada orang PAS tuduh Anwar Ibrahim mengalakkan perkahwinan sesama jenis. Serangan seperti ini tidak membantu perjuangan PAS, malah tidak perlu jika mengambil kira ulasan pengarah Merdeka Centre. Akibat tindakan seperti itu, bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak senang, ramai juga orang Melayu yang tidak suka serangan cara itu.

Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir, lagi hebat. Kita tahu apa yang beliau katakan. Ada video yang tular. Tidak tergamak saya mengulangi apa yang beliau kata tentang apa yang menanti orang yang mengundi BN atau PH.

Ini ramai orang Melayu yang marah. Shahiful serta PAS dibidas teruk. Tetapi Presiden Hadi Awang tidak mengulas atau memberi sebarang reaksi. Adakah beliau merestui langkah ketua Pemuda PAS Sik itu?

Bagi saya, jika tidak “restu” pun tapi PAS dilihat “tolerant” tidak lah memeranjatkan kerana “Amanat Hadi” pada 1981 mirip hujah ‘masuk neraka’ ketua Pemuda PAS Sik.

Lalu pengerusi PN, yang juga presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, terpanggil untuk memohon maaf bagi pihak orang PAS itu kerana berkata apa yang beliau kata. Muhyiddin ahli politik berpengalaman tahu kesan negatif kata-kata itu terhadap gabungan pimpinannya.

Susah bagi beliau apabila orang Melayu sendiri marah. Jika PN mahu memerintah ia mesti dapat sokongan rakyat bukan Islam. Sokongan blok parti politik Sabah dan Sarawak amat penting. Gelagat “extreme” PAS boleh menjauhkan mereka daripada PN. Muhyiddin tahu itu semua.

Setelah Muhyididn memohon maaf, Shahiful tampil berbuat demikian sambil menyuarakan hasrat berehat daripada semua jawatan dalam parti. Saya tidak mahu mengulas pandangan dalam kalangan orang Melayu yang mempersoalkan permohonan maaf itu.

Yang mahu saya katakan, “damage has been done”.

Timbul pula kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan, pada 15 Nov lalu bahawa PN sedia bekerjasama dengan BN membentuk kerajaan campuran jika tidak mendapat majoriti mencukupi pada PRU15.

Sekali lagi Muhyiddin terpanggil ke hadapan, kali ini untuk membuat penafian. Apa tidaknya kerana sebelum ini Muhyiddin malah seluruh PN berulang kali menegaskan tidak akan ada apa-apa kerjasama dengan BN.

Kata Muhyiddin, PN tidak pernah memberi mandat kepada pemimpin PAS untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaaan campuran selepas PRU15. Setelah penafian Muhyididn, Takiyuddin bersuara mendakwa kenyataannya telah diambil “di luar konteks”. Kata beliau, tajuk yang disiar media mengelirukan pengundi.

Alasan lazim politikus apabila terperangkap.

Pun begitu, menerusi kenyataan asalnya, Takiyuddin turut berkata, “presiden PAS pernah berkata jika kita tidak boleh bekerjasama dengan BN sebelum pilihan raya mungkin kita boleh menjalin hubungan selepas ini.”

Kali ini Hadi muncul memberi reaksi. Kata beliau, “itu dibuat berdasarkan sebelum PRU dan Parlimen belum dibubarkan. Kita tunggu Perhimpunan Agung Umno ubah pemimpin Umno ketika itu. Malangnya tidak boleh dibuat.”

Maksudnya Umno tidak menukar pucuk pimpinan yang dikatakan ‘tidak bersih’, atau istilah yang Hadi gunakan, ‘keruh’.

Dalam pada itu, Takiyuddin dipetik Sinar Harian juga pada 15 November berkata, PAS yang bersedia untuk bergabung dengan BN sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15, bukan PN.

Takiyuddin dilapor berkata pendirian PAS jelas – jika diminta untuk bergabung ia akan memilih BN.

Bagi wartawan pengalaman, Fathi Aris Omar, setiausaha agung PAS itu “bercakap jujur dan lurus” bahawa PN tidak berjaya perolehi cukup kerusi, ia perlu bergabung dengan BN untuk bentuk kerajaan. Sekaligus membayangkan BN juga tidak cukup kerusi.

Saya petik sebahagian tulisan menarik beliau di Facebook. Fathi menghuraikan apa “yang tersirat daripada perang senyap di sebalik tabir PN antara PAS dan Bersatu.”

Antaranya, kata beliau, PAS menolak retorik PN kononnya sudah capai 112 kerusi, bahawa PAS yakin kerusi yang bakal dimenanginya jauh lebih besar dan signifikan daripada Bersatu maka ia berhak tentukan hala tuju selepas PRU15.

BN juga diramal akan hadapi jalan sukar untuk bentuk kerajaaan. Menurut Fathi, majoriti undi penyokong BN dijangka berpindah kepada PAS (dan sedikit Bersatu) atas “nama busuk Umno yang dilanda rasuah”.

Cukup setakat itu walaupun pun ada lagi yang diperkatakan Fathi. Terus terang saya kata saya setuju dengan pandangan beliau.

Cuma saya ingin menambah: PAS, ahli dan pemimpin, sememangnya selama ini cukup yakin Hadi Awang, presiden mereka, layak jadi perdana menteri.

Kepercayaan itu tidak pernah luntur. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.