IPOH: Gelombang yang berayun sejak Anwar Ibrahim melaungkan “reformasi” pada 1998 mungkin akan meleper – jika tidak terhenti – akhirnya di Perak di tangan pengundi muda tempatan yang tidak terpesona dengan visual ribuan turun ke jalanan lebih 20 tahun lalu, dan golongan dewasa yang hanya mahukan “kestabilan”.
Jika kehadiran di acara anjuran parti politik jadi ukuran, di Perak utara misalnya aktiviti Perikatan Nasional tampak lebih meriah dengan orang muda tempatan berbanding acara Pakatan Harapan, mahupun pesaing terdekat, BN, berdasarkan pemerhatian pemberita di lapangan.
BN kelihatan dominan di Perak selatan, dan mampu menggugat PH di Perak tengah lantaran keletihan politik dalam kalangan pengundi yang kritikal dengan prestasi wakil rakyat masing-masing, jika pandangan beberapa orang awam yang ditemubual cerminan sentimen umum.
Dalam pada itu, BN dilihat berpeluang merampas DUN yang mempunyai kelebihan undi tipis seperti Chenderiang (39 undi), Selama (289 undi), Kubu Gajah (180 undi), Titi Serong (140 undi), dan Behrang (409 undi).
Masih ada harapan untuk PH, dengan syarat peratusan keluar mengundi yang tinggi dan pengundi dari luar negeri pulang dan memilih gabungan itu, menurut penganalisis.
“Kalau salah langkah Anwar boleh ‘terjeghombab teghuih tumpo’ (jatuh terjelepuk terus mati’),” kata seorang wartawan tempatan yang mengundi di Parit, Perak tengah, yang minta tidak dinamakan.
Hazimah Satim, 23, di Bagan Serai, Perak utara, terang-terangan berkata beliau dan kawan-kawan sudah pun berpakat. “Macam nak undi PN sebab kawan-kawan semua nak undi PN.”
Bagi pengundi tempatan dalam lingkungan usia Hazimah, rata-rata yang ditemui akui media sosial seperti TikTok yang popular dalam kalangan orang muda menjadi pendorong besar, di samping pengaruh parti sedia ada, seperti PN yang dilihat dominan di utara, dan BN di selatan, dan beberapa kawasan di tengah di samping PH.
Lim Chee Yong, 68, seorang peniaga yang mengundi di Parit Buntar yang bersempadan dengan Pulau Pinang, akui pertimbangan beliau ketika ini parti politik mana yang dirasakan paling boleh memulihkan ekonomi.
“Mahu tukar wakil rakyat. Bisnes makin kurang. Kena projek baru masuk baru ekonomi hidup balik,” katanya kepada FMT. “Saya mahu tolong calon BN pula. Mau tengok ekonomi bangun balik.”
Di Tambun, di mana Anwar bertembung dengan Faizal Azumu, calon ‘underdog’ Aminuddin Hanafiah menjadi sebutan pengundi tempatan kerana kerja-kerja lapangan yang beliau lakukan secara senyap-senyap sejak tewas pada PRU14.
Tujahan Aminuddin kali ini dilihat lebih ampuh, kerana ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi Umno selepas pucuk pimpinan mempertaruhkan Ahmad Husni Hanadzlah pada PRU lepas terurai dengan pencalonan jaguh tempatan itu.
Beliau dikatakan berpotensi meraih undi terbanyak daripada saluran pengundi berusia, terutama di DUN Hulu Kinta. Difahamkan yang akan menentukan nasib calon-calon adalah pengundi saluran muda dan pertengahan yang kebanyakannya tidak pernah berjumpa calon BN itu.
Bagi penganalisis politik dan keselamatan, Noor Nirwandy Mat Noordin daripada Universiti Teknologi Mara, PH perlu menarik sebanyak mungkin pengundi untuk keluar mengundi bagi menyahkan kekuatan akar umbi BN.
“Konteks pola pengundian peratusan pengundi rendah akan berpihak kepada BN, pengundian undi popular boleh memihak kepada PH dengan syarat terdapat peningkatan dalam jumlah pengundian,” jelasnya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, mengingatkan kekalahan di Tambun akan beri kesan yang amat besar kepada PH.
“Jika Anwar tewas maka PH kehilangan calon perdana menteri, dari segi moralnya tamparan tentulah begitu hebat sekali,” katanya.
Penduduk Tambun yang ditemui nampaknya kritis terhadap Faizal, yang menurut mereka sukar ditemui. Ikut kata mereka, kalau ada pun orang Tambun pilih “Peja”, mereka mungkin sekali penyokong PAS.
Sentimen yang kritikal terhadap prestasi wakil rakyat ketara di kawasan-kawasan yang dimenangi PH pada PRU14 lalu, menunjukkan kesedaran politik yang melangkaui kepartian.
Seorang juruteknik di Teluk Intan, yang hanya mahu dikenali sebagai Jonathan, 33, berkata: “Harapan kami parti yang menang tidak hanya bercakap sahaja. Bukan seperti wakil rakyat yang menang sebelum ini – ketika kempen menabur pelbagai janji, tetapi bila menang langsung tidak nampak batang hidung.”
Pada PRU14, Parlimen Teluk Intan dimenangi Nga Kor Ming dari DAP yang bertanding atas tiket PKR, dengan majoriti 11,179 undi.
Esok rakyat Perak akan menentukan masa depan politik negara. Memandangkan rakyat akan memilih ketika musim tengkujuh, Pakatan Harapan mungkin betul-betul berharap “panas akan sampai ke petang”. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.