DAP boleh raih semula sokongan pengundi atas pagar dan mereka yang tawar hati, sekali gus melemahkan modal politik lawannya.

Tajuk di atas mungkin mengejutkan ramai pihak.
Lagipun, saya memang dikenali sebagai penyokong tegar DAP – malah saya percaya ia adalah parti politik terbaik di Malaysia.
Sebab itu, amat berat untuk saya menulis perkara ini. Namun, politik mempunyai logik, pertimbangan dan peraturannya yang tersendiri, yang kadangkala sukar dijangka.
Walau apa pun, DAP mesti berundur.
Dengan melepaskan jawatan dalam kerajaan, DAP boleh meraih semula keyakinan masyarakat, termasuk mereka yang sudah mula bersikap sinis terhadap parti itu.
Ramai penyokong DAP berpendapat parti itu terlalu banyak bertolak ansur dengan perdana menteri.
Mereka merasakan perdana menteri terlalu berusaha mengambil hati orang Melayu, sedangkan ramai dalam kalangan mereka masih tidak menyambut pendekatan itu.
Saya sendiri tidak bersetuju dengan pandangan itu. Namun, kebimbangan penyokong berkenaan tidak boleh diketepikan kerana mereka juga akan menentukan keputusan pilihan raya akan datang.
Jika DAP berundur daripada Jemaah Menteri, langkah itu mungkin dapat meyakinkan golongan yang skeptikal untuk kembali keluar mengundi.
Kedua, pengunduran DAP boleh memberi tekanan kepada perdana menteri supaya melaksanakan reformasi yang telah dijanjikan. Pembaharuan itu penting untuk memulihkan semula keyakinan rakyat, termasuk pengundi atas pagar, terhadap Pakatan Harapan (PH).
Langkah itu mungkin kelihatan keras, tetapi ada kalanya keputusan yang pahit perlu dibuat demi hasil yang lebih baik.
Ketiga, apabila DAP tidak lagi berada dalam kerajaan, PAS akan kehilangan pihak yang selama ini dijadikan sasaran dan momokan politik.
PAS juga tidak lagi mudah memainkan naratif bahawa DAP menguasai kerajaan dengan tujuan – seperti yang sering digambarkan parti Islam itu – untuk menghancurkan orang Melayu dan Islam.
Tanpa DAP dalam kerajaan, Anwar boleh melantik lebih ramai Ahli Parlimen Melayu ke Jemaah Menteri. Kabinet yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu juga boleh melemahkan desakan PAS untuk mewujudkan kerajaan dengan komposisi sedemikian.
Langkah itu juga mungkin menamatkan desakan berhubung konsep “Rumah Bangsa” serta naratif Melayu-Islam yang sering dimainkan PAS dan kelompok sehaluannya untuk terus kekal relevan.
Sudah tiba masanya untuk mencabar gertakan politik PAS dan Umno. Jika DAP meninggalkan kerajaan, PAS dan Umno mungkin pula terpaksa mengikut rentak PH.
Jadi, bagaimana langkah ini boleh menyelamatkan Malaysia?
Dengan berundur daripada Jemaah Menteri, DAP berpeluang meraih semula sokongan pengundi atas pagar dan mereka yang semakin pesimis terhadap politik, selain mendorong lebih ramai rakyat keluar mengundi pada hari pilihan raya.
Pada masa sama, langkah itu boleh menghilangkan modal utama yang selama ini digunakan lawan untuk menyerang DAP dan PH.
Ia mungkin strategi luar biasa, tetapi berpotensi membantu PH memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan seterusnya tanpa bergantung kepada pihak lain.
Kerana kadangkala, matlamat akhirnya dianggap cukup penting untuk membenarkan cara yang digunakan bagi mencapainya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.