Tawfik Yaakub berkata kedua-dua gabungan juga perlu sepakat mengenai kepimpinan dan dasar bersama sebelum PRU.


Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata kedua-dua gabungan juga perlu mencapai persefahaman mengenai kepimpinan dan dasar bersama sebelum kerjasama itu dibawa ke peringkat nasional.
Menurutnya, penyelesaian awal perkara itu penting kerana PRU jauh lebih kompleks, membabitkan 222 kerusi Parlimen serta kepentingan parti di peringkat nasional dan negeri.
“Jika kerjasama itu mahu dibawa ke PRU, BN dan PN perlu menjawab lebih awal siapa calon perdana menteri, bagaimana kerusi dibahagikan serta dasar bersama mahu ditawarkan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin bahawa pakatan BN-PN akan menjadi lebih kukuh dan stabil jika kedua-dua gabungan menyusun perancangan serta agenda bersama sejak awal.
Timbalan pengerusi PN itu dilaporkan berpandangan kerajaan terdahulu membabitkan BN dan PN terbentuk tanpa perancangan awal, menyebabkan parti terlibat sukar membina kepercayaan antara satu sama lain.
Hamzah turut menggesa perancangan awal merangkumi formula pengagihan kerusi yang boleh diterima kedua-dua pihak dan tidak hanya tertumpu kepada PRN Melaka.
BN dan PN pernah bergabung membentuk kerajaan persekutuan dari Mac 2020 hingga November 2022 di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri Yaakob.
Kerjasama kedua-duanya tercetus semula pada PRN Negeri Sembilan, awal bulan ini, menyaksikannya menang 25 daripada 36 DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata rundingan kerusi dan persefahaman politik perlu dimuktamadkan sebelum PRU bagi mengelakkan konflik hanya cuba diselesaikan selepas keputusan pilihan raya diketahui.
Menurutnya, pembentukan kerajaan secara ad hoc selepas pilihan raya boleh menyebabkan kerjasama berlaku dalam keadaan ‘terpaksa’ dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti terbabit.
“Kalau kerjasama atau pembentukan kerajaan dibuat selepas keputusan pilihan raya, ia seolah-olah dipaksa.
“Setiap pihak terpaksa bekerjasama walaupun ada rasa tidak puas hati,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.