Setiausaha Agung PKR itu diberi kelonggaran untuk berada di luarsambil bekerja.
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakan Pegawai Perhubungan Politik Datuk Saifuddin Nasution yang masih belum memulakan tugas sepenuhnya sebagai Ketua Staf di Pejabat Menteri Besar.
Menurut Abdul Khalid, Setiausaha Agung PKR itu diberi kelonggaran untuk berada di luar sambil bekerja dan tidak semestinya berada di pejabat untuk memberi khidmat yang baik.
“Zaman moden sekarang mana ada pejabat, kita pakai komputer riba atau Ipad sahaja.
“Orang bisnes sekarang boleh main golf sambil pantau dan kawal pekerja mereka melalui Ipad.
“Kerja hanya diterjemahkan melalui hasil akhir. Kita boleh berada dimana-mana tetapi pada masa sama masih boleh menghasilkan laporan dan produktif kerja yang berterusan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Pegawai Perhubungan Politik sejak bulan lalu, Saifuddin dilaporkan hanya datang sekali untuk melapor diri ke pejabat Menteri Besar di SUK.
Saifuddin dilantik membantu Khalid mengendalikan hal ehwal politik dalaman negeri selain melicinkan hubungan antara kerajaan negeri dengan parti Pakatan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau menyokong tindakan kerajaan Pusat mengenakan sistem kad pengenalan khas untuk 1.4 juta warga Banglades yang akan dibawa masuk bekerja ke negara ini pada tahun depn.
Katanya, setakat ini Selangor mempunyai jumlah pekerja asing termasuk pendatang haram yang tertinggi berbanding negeri lain dan melihatnya sebagai langkah positif dari segi jaminan keselamatan.
“Kita sokong tindakan kerajaan dalam membanteras masalah tenaga asing. Kita perlu satu program untuk menguruskan soal keselamatan dan sumber tenaga yang diperlukan dalam industri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam responnya kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu memperkenalkan kad pengenalan khas kepada pekerja Bangladesh.
Kad pengenalan khas itu menurut Zahid akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.