PETALING JAYA: Polis menjelaskan pemasangan kawat duri di laluan tangga Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Wang Maju yang tular di media sosial adalah bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata pemasangan kawat duri tersebut dibuat setelah dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang turut dihadiri oleh bomba.
Katanya, PKPD dilaksanakan bermula hari ini terhadap satu blok sahaja kerana blok yang lain didapati kurang berisiko.
“Terdapat kekeliruan yang timbul apabila gambar kawat duri di laluan tangga tersebut disebarkan kerana penduduk merasa bimbang sekiranya berlaku kecemasan.
“Untuk makluman, terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk blok tersebut bagi tujuan keluar dari blok sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, katanya, pihak polis dan tentera juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sekiranya berlaku kecemasan, pihak tentera berkemampuan untuk membuka kawat duri tersebut dalam tempoh masa yang singkat,” katanya sambil menambah pihak berkuasa sentiasa berada di laluan berkenaan untuk memantau situasi semasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang menimbulkan kegusaran masyarakat. Polis sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.