PETALING JAYA: Kegagalan sistem kemudi disyaki punca dua kapal berlanggar di perairan Muar, Johor, tengah malam tadi.
Pengarah Maritim Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki MV Gagapagos yang berdaftar di Malta dilaporkan mengalami kegagalan sistem kemudi dan bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal kargo MV Zephyr Lumos yang sedang memintasnya.
“MV Zephyr Lumos yang berdaftar di United Kingdom itu gagal mengelak himpitan MV Galapagos dan berlaku pelanggaran di sisi kanan kapal,” katanya dalam kenyataan.
Pelanggaran dua kapal itu berlaku di kedudukan 14.1 batu nautika di barat daya kuala Sungai Muar pada 12.03 tengah malam tadi.
Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim di Putrajaya menerima isyarat kecemasan dari kedua-dua kapal itu menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia.
MV Zephyr Lumos yang membawa muatan kargo dalam pelayaran ke Terusan Suez, manakala MV Galapagos dalam pelayaran ke India.
Hizam berkata, siasatan awal ke atas kerosakan badan MT Galapagos mendapati terdapat tompokan tumpahan minyak.
Katanya, dua kapal itu masing-masing membawa 24 dan 26 kru, tetapi tiada kru yang dilaporkan cedera.
Ia kini ditahan untuk membantu siasatan Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.