`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 12, 2021

Kenderaan perkhidmatan awam capai usia maksimum diberi lanjutan setahun

 

Lanjutan itu merangkumi semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan memberi lanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang mencapai had usia maksimum penggunaan seperti ditetapkan dalam syarat lesen atau permit kenderaan.

Ini termasuk yang telah mendapat lanjutan pada tahun sebelumnya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, langkah itu diambil untuk membantu penggerak industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran mengharungi tempoh sukar akibat pandemik Covid-19.

“Mana-mana kenderaan perkhidmatan awam mencapai had usia maksimum penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 akan diberi pelanjutan secara automatik untuk satu tahun lagi.

“Pelanjutan ini adalah tertakluk kepada kenderaan terbabit menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan tahap keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lanjutan berkenaan merangkumi semua kelas kenderaan perkhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak.

“Keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) berkaitan pelanjutan had usia bas pelancongan dan persiaran juga turut diselaraskan dengan aspek pelesenan syarikat, agensi, operator pelancongan dan pelesenan bas pelancongan serta persiaran di Sabah, Sarawak dan Labuan yang berada di bawah skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac),” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil susulan sesi perbincangan serta libat urus di antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA) dan Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM).

Selain itu, proses libat urus turut membabitkan Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

“Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam, seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing bagi tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.