`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 11, 2021

Kilang proses kayu balak cetus kluster baharu di Sabah

 

Masidi Manjun berkata, 19 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 88 kontak rapat dalam kluster Kayu Patikang di Keningau.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, kluster Kayu Patikang yang baharu dikesan hari ini membabitkan jangkitan di sebuah kilang pemprosesan kayu balak di Keningau.

Katanya, kes indeks membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia empat tahun yang disahkan positif melalui saringan bergejala di Hospital Keningau.

“Saringan kontak di lapangan mendapati 16 lagi kes dengan keputusan RTK-Antigen positif pada 10 Julai dan pada hari sama, dua lagi kes positif dilaporkan pusat kuarantin sementara IPG Keningau melalui saringan seumpamanya.

“Setakat hari ini, 19 kes positif dikesan daripada 88 kontak yang disaring, termasuk 18 kes baharu hari ini,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19 di Sabah.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, 271 kes baharu dicatatkan di Sabah, menjadikan keseluruhan 72,313 kes setakat ini.

Katanya, tiada kematian dilaporkan hari ini, manakala 245 pesakit sembuh dan dibenarkan pulang.

“Seramai 1,911 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 393 orang di hospital, 1,501 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), manakala 17 orang di pusat tahanan sementara (PTS) atau penjara.

“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 52 orang dan 17 lagi memerlukan bantuan pernafasan.”

Beliau berkata, daerah yang mendominasi kes baharu hari ini ialah Beaufort dan Kota Kinabalu yang masing-masing mencatatkan 70 serta 61 kes, iaitu 48.3% daripada keseluruhan kes baharu.

Katanya, 70 kes di Beaufort berpunca daripada saringan kontak rapat sebanyak 51 kes, 10 lagi kes hasil saringan kluster Lumadan dan sembilan kes daripada saringan bergejala.

Beliau berkata, jumlah kes baharu di Kota Kinabalu menurun sebanyak 21 kes berbanding semalam, dengan 26 kes dikesan melalui saringan kontak rapat, saringan bergejala (11 kes), saringan bersasar (dua kes) dan lain-lain kategori mencatat satu kes.

“Sebanyak 18 kes di Kota Kinabalu daripada saringan kluster, iaitu Agora Borneo yang mencatat 10 kes, KKIP Empat Timur (empat), Kayu Madang (tiga) dan Tembok Kota Kinabalu (satu).

“Turut mempengaruhi jumlah kes di Sabah hari ini ialah saringan kontak rapat yang merekodkan 145 kes di seluruh negeri,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.