`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 13, 2021

Kisah istilah baharu makna baharu

 

Ini kisah sedih. Bayangkan anda seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat besar. Ringkasnya CEO. Namun syarikat anda dalam kesulitan dan kesusahan. Seribu masalah yang dihadapi, khususnya kesulitan kewangan.

Setiap hari ada sahaja kakitangan yang berhenti atau lebih tepat, diberhentikan kerja. Daripada 7,097 pekerja setiap hari yang diberhentikan kepada 8,868, kepada angka 9,180 dan terus melonjak ke 9,353 pekerja yang khidmatnya ditamatkan. Angka tidak menunjuk tanda memberangsangkan.

Ini menunjukkan keadaan syarikat anda bertambah buruk. “From bad to worse” – daripada buruk beralih ke lebih buruk.

Namun mengikut rancangan pemulihan yang anda rangka, waktu ini adalah fasa pertama pemulihan syarikat. Maknanya syarikat (pada hemat anda sendiri) sedang bergerak ke arah atau sudah berada dalam jangka waktu pemulihan. Walaupun jumlah kes pembuangan pekerja meningkat secara drastik.

Oleh kerana ini fasa pertama tempoh pemulihan, anda memutuskan membuka semula cawangan cawangan syarikat yang diarah tutup suatu ketika dahulu. Ketika jumlah pekerja yang dibuang kerja dalam lingkungan 4,000 orang.

Maksudnya ketika 4,000 pekerja dihentikan cawangan diarah tutup, tetapi apabila 9,000 pekerja dihentikan, cawangan dibuka semula. Persetan suara sumbang kononnya itu tidak logik.

Jika perlu cawangan-cawangan yang diarah dibuka semula boleh ditutup semula kelak. Apa masalahnya? Persetan suara sumbang kononnya keputusan pengurusan syarikat kerap berubah-ubah.

Yang penting syarikat berada pada jangka waktu fasa pertama pemulihan. Lalu buka semula cawangan. Itu mereka yang bersuara sumbang tidak faham. Pemikiran mereka tidak “sophisticated” untuk memahami urusan pengurusan moden.

Pun begitu syarikat masih mengalami kesulitan kewangan yang parah. Pekerja yang ada dalam kesengsaraan. Namun untuk beri mereka lebih banyak bantuan kewangan agak sukar. Bahkan mustahil. Sejumlah besar dana kewangan sudah pun digunakan untuk menampung pelbagai perbelanjaan, termasuk membantu pekerja tidak lama dahulu.

Dalam keadaan begini amalan perniagaan biasa ialah pengurusan mesti menjaga dana kewangan yang ada. Perbelanjaan wajib dikawal rapi. Itu logiknya. Betul begitu?

Salah. Itu cara kolot. Cara moden adalah lebih afdal anda selaku CEO syarikat menaikkan pangkat pegawai kanan anda untuk duduk di kerusi empuk nombor dua syarikat, demi membantu anda yang duduk di kerusi empuk nombor satu syarikat.

Untuk melicinkan pentadbiran, anda naikkan pangkat salah satu pegawai untuk menjawat posisi pegawai kanan. Pegawai ini boleh dipilih daripada puluhan pegawai dalam pengurusan syarikat. Sama ada yang dinaikkan pangkat itu dahulu berprestasi cemerlang atau tidak bukan perkiraan.

Persetankan suara sumbang yang menuduh langkah kenaikan pangkat suatu pembaziran. Mereka tuduh jumlah wang yang perlu dibelanjakan bukan sahaja membabitkan gaji bulanan tetapi juga elaun dan pelbagai kemudahan. Untuk yang dinaikkan pangkat dan juga para pegawai mereka.

Yang dinaikkan pangkat ada ramai pegawai mereka masing-masing yang layak menerima pelbagai kemudahan dan imbuhan. Jumlah besar yang akan menyakitkan lagi kewangan syarikat.

Sekali lagi persetankan tuduhan itu semua. Ia dibuat oleh golongan tidak berupaya. Apa yang boleh mereka lakukan selain mengadu dan memekak?

Benar, pengerusi syarikat dan lembaga pengarah mahu anda selaku CEO membuka ruang untuk berbincang dengan wakil pekerja dan semua pihak berkepentingan bagi mencari jalan mengatasi masalah syarikat. Mereka mahu perbincangan diadakan secepat mungkin.

Ini tidak boleh dipersetankan. Ini perlu dituruti. Jika tidak, ada padahnya.

Anda selaku CEO tahu pengerusi dan lembaga pengarah mahu perbincangan diadakan secepat mungkin. “As soon as possible,” bak kata Inggeris. Singkatannya “ASAP”. Ada orang kata secepat mungkin bererti serta-merta. “Immediately,” bak kata Inggeris sekali lagi.

Itu istilah rasmi. Tetapi mengikut tafsiran syarikat, “ASAP” boleh juga bermakna bukan serta-merta.

Yang penting, arahan pengerusi dan lembaga pengarah dipatuhi tetapi pada waktu dan ketikanya pengurusan syarikat bersedia. “Take your time”. Guna kesempatan dan masa yang ada untuk memperkukuhkan pengurusan.

Katakan saja itu semua norma baharu. Sementara itu, adakah jumlah pekerja syarikat yang dihentikan khidmatnya terus meningkat? Yang pasti banyak pekerja yang terus sengsara.

Lantas saya bertanya adakah syarikat seperti ini wujud di muka bumi ini? Atau sekadar kisah dongeng tentang seorang CEO dan syarikatnya? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.