`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 14, 2021

Kita makin teruk, jika dalam kerajaan saya akan minta bantuan India kawal Covid-19, kata Najib

 

Najib Razak berkata India dapat menangani penularan Covid-19 dalam masa singkat berbanding Malaysia yang semakin teruk.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata, Malaysia yang kini “tercabar” dengan varian Delta sepatutnya meminta bantuan India dalam menangani peningkatan kes Covid-19.

Katanya, India dapat menangani penularan Covid-19 dalam masa singkat berbanding Malaysia yang semakin teruk.

“Pada Mac-April lalu, keadaan Covid India amat teruk susulan kemunculan varian Delta tetapi berjaya dikawal dalam tempoh masa yang agak pendek dengan pelbagai kaedah termasuk ‘lockdown’ amat ketat.

“Trend Malaysia pula tak reda. Malah semakin teruk,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan melaporkan rekod tertinggi 11,618 kes Covid-19.

Dalam catatan di Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif jangkitan kini mencecah 867,567 kes.

Najib berkata, tidak salah meminta bantuan India dan negara luar memandangkan Malaysia sedang tercabar dengan varian Delta dan barisan hadapan semakin letih serta berkurangan.

Katanya, kapasiti hospital India sudah terkawal dan sistem perubatan di sana ada pengalaman mengawal varian Delta.

“Sekiranya saya dalam kerajaan, saya akan minta bantuan daripada India untuk hantar pakar teknikal, kakitangan perubatan, ubat dan peralatan bagi tempoh sementara.

“Saya akan tanya kenapa India boleh pulih dalam tempoh begitu pendek dan apa yang kita buat salah di Malaysia sehingga kita semakin teruk,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh bertanya kaedah yang berjaya, cara mengubat pesakit paling betul, ubat apa yang digunakan dan sebagainya.

Katanya, begitu juga dengan negara lain yang lebih berjaya mengawal Covid-19 tetapi pernah dilanda teruk seperti Amerika Syarikat dan China.

“Saya akan minta bantuan termasuk pengambilan sementara staf kesihatan yang berpengalaman bagi tempoh seketika sebab negara kita dalam krisis manakala mereka sudah lebih bebas.

“Masa dahulu, Malaysia akan bantu negara lain apabila berlaku bencana.

“Sebagai contoh, kita hantar bantuan kepada China masa gempa bumi besar Sichuan dan kepada Jepun masa negara itu mengalami bencana tsunami besar termasuk menghantar pasukan penyelamat,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga sering menghantar bantuan dari segi barangan atau kepakaran apabila diminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Jadi saya tak rasa ia menjatuhkan maruah Malaysia untuk minta bantuan apabila kita dalam krisis. Saya tidak akan ego sebab ini soal hidup mati rakyat serta cabaran bagi masa depan negara.

“Selepas negara pulih, kita bersambung bantu negara lain pula. Saling bantu-membantu juga akan merapatkan hubungan antarabangsa kita,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.