`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 27, 2021

Pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan tak berperlembagaan, kata Tok Mat

 

Mohamad Hasan berkata, tindakan dilakukan kerajaan PN sangat merisaukan kerana jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan Malaysia menuju ke kancah ‘stealth authoritarianism’.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyifatkan pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan sebagai satu perbuatan tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, ini kerana pembentangan Ordinan Darurat dijadualkan untuk dibentangkan dalam sidang khas Parlimen bagaimanapun dibatalkan secara tiba-tiba.

“Semua dilakukan tanpa ketelusan. Tiada pengumuman rasmi, tiada pembentangan di Parlimen, tiada makluman dari Istana Negara dan pewartaan.

“Parlimen bukan medan persendaan. Kerajaan PN menggunakan Parlimen hanya untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukan kepentingan nasional,” katanya di Facebook.

Mohamad berkata, tindakan dilakukan kerajaan PN itu sangat merisaukan kerana jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan Malaysia menuju ke kancah “stealth authoritarianism”.

“Ia adalah keadaan di mana dalam waktu krisis, kerajaan menggunakan undang-undang mengikut citarasa mereka. Di kala mereka wajar lebih telus, mereka melakukan sebaliknya. Apa lagi bila mereka menggunakan krisis untuk melemahkan pelbagai instrumen semak dan imbang.

“Atau menggunakan krisis untuk mengukuhkan lagi kuasa eksekutif dan bukannya memberdayakan kepercayaan nasional melalui pelbagai kerjasama demokratik rentas politik dan ideologi,” katanya.

Beliau berkata, Ordinan Darurat dilaksanakan tanpa dibentangkan di Parlimen, tidak didebatkan dan pelaksanaannya tidak dapat disemak dan diimbang oleh Parlimen.

“Pembatalannya juga hanya dimaklumkan di Parlimen. Sejak bila Parlimen hanya menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan Kabinet?

“Umno telah melakukan tugasnya senafas dengan desakan rakyat. Menentang perisytiharan darurat, mendesak pembatalannya, mengembalikan persidangan Parlimen dan mengembalikan fungsi Perlembagaan,” katanya.

Mohamad berkata, apa yang jelas, pendirian Umno yang konsisten ini telah meletakkan kerajaan PN dalam kedudukannya yang terdesak dan sangat rapuh dan pembatalan Ordinan Darurat membuktikan kebenaran pendirian Umno bahawa darurat dari awal lagi adalah salah dan tidak perlu.

Katanya, Umno ternyata betul bahawa menggantung Parlimen dan melumpuhkan Perlembagaan bukan caranya untuk menguruskan krisis dan natijahnya Parlimen mula bersidang.

“Pendirian Umno juga benar bahawa menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan negara memerlukan penglibatan semua dan bukan hanya tindakan eksekutif. Semua ini meyakinkan Umno bahawa ia telah jadi suara pencerahan kepada Malaysia yang sedang gelap dan malap,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.