`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 29, 2021

Wanita terlelap, kereta terjunam masuk sungai

 

Mangsa dikeluarkan dari kereta dengan bantuan orang ramai manakala kenderaannya pula dikeluarkan bomba menggunakan pengusung dan tali. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai terlelap ketika memandu sebelum kenderaannya terjunam ke dalam sungai, dalam kejadian di Kilometer 61, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di Kota Tinggi, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nurul Ain Shamyra Shariff, 22, memandu kereta Proton Persona secara bersendirian dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora, mangsa dipercayai terlelap sebelum kereta dipandunya terjunam dan terbalik di dalam sungai.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian leher manakala keretanya rosak dan remuk di bahagian bumbung,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Mohd Rafi Mohd Nor pula berkata 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk membantu mangsa sebaik pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.37 pagi.

Katanya, mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta dengan bantuan orang ramai manakala kenderaannya pula dikeluarkan bomba menggunakan pengusung dan tali.

“Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasar Borong Song Seng. Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8.18 pagi,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Air Tawar 2 sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.