`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 9, 2021

YB, Isteri, dan anak-anak

 

Saya pernah menulis akan kritikan seorang pemimpin Umno terhadap YB atau wakil rakyat partinya serta isteri masing-masing kerana gelagat mereka yang menimbulkan kemarahan “orang kampung”.

Oleh kerana dewasa ini ramai rakyat biasa (tak kira lah orang kampung atau bandar) sedang marah wakil-wakil mereka atau Yang Berhormat, yang lazim dipanggil YB, saya memetik kembali apa yang diluahkan pemimpin Umno itu.

Pemimpin Umno yang saya maksudkan ialah Allahyarham Megat Junid Megat Ayub, bekas menteri dalam pentadbiran BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Allahyarham jadi YB di kawasan Pasir Salak, Perak selama 17 tahun.

Kritikan Allahyarham terkandung dalam buku yang diterbitkan pada 2000 berjudul Getek.

Bab 3 ialah mengenai Wakil Rakyat. Di mukasurat 42, Allahyarham menceritakan cara sederhana dan rendah dirinya ketika balik ke kawasan meninjau kehidupan rakyat yang diwakilinya.

“Bukan macam wakil rakyat sekarang,” kata Megat. “Tiada jawatan pun (dalam kerajaan) pakai Mercedes, duduk di belakang, pakai ‘bush jacket’. Sampai (ke sesuatu majlis) terus ke ‘main table’ (meja utama).

“Isteri pun ikut sama. Bukan main, ‘makeup’ pun dah lain. Fesyen rambut pun dah lain. Bersalam pun dah lain. Sentuh hujung tangan sahaja. Baju mahal. Pakai barang kemas mahal-mahal. Buat apa nak tunjuk orang kampung. Buat apa nak lawan (bergaya) orang kampung .

Duduk mesti ‘main table’. Duduk mesti tepi suami (si wakil rakyat).Kalau tidak orang tak kenal. Lepas minum buka beg. Ambil cermin kecil. Ambil tisu, betul-betulkan ‘makeup’. Ambil ‘lipstick’ betulkan ‘lipstick’ di bibir.”

Kata Allahyarham lagi “orang kampung tak suka. Orang kampung meluat. Orang Perak kata ‘getek betul aku tengok’.”

Allahyarham menjelaskan “getek” bahasa orang Perak jati yang membawa erti meluat, muak, menyampah, dan benci yang amat sangat.

Menurut Allahyarham sikap, tingkah laku, perangai, pembawakan, perwatakan, dan telatah seorang wakil rakyat menjadi tumpuan semua pihak.

“Mereka tahu latar belakang kita. Macam mana bila sahaja jadi wakil rakyat sudah ada kereta besar, rumah besar, banyak barang kemas dan anak-anak hidup mewah.”

Beberapa tahun lalu, saya ada menulis mengenai menteri, timbalan menteri, juga Ahli Parlimen dan keluarga yang gemar memapar kemewahan di platform media sosial terutama Instagram dan Facebook.

Contohnya menayangkan beberapa kereta mewah dan jam tangan mahal yang dikatakan milik anak seorang menteri (ketika itu). “Posting” dimuatnaik oleh anaknya sendiri dengan megah.

Ada juga ucapan terima kasih anak remaja seorang lagi menteri (kini masih menteri ) kepada si ayah kerana menghadiahkannya beberapa pasang kasut berjenama yang dikatakan berharga ribuan ringgit setiap pasang.

Saya menulis semua itu bukan menuduh apa-apa ke atas sesiapa. Cuma ilham tercetus apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika itu, Azam Baki, memberitahu, catatan Facebook percutian mereka di luar negara dan barangan mewah milik mereka berkemungkinan mengundang perhatian SPRM.

Kata Azam ketika itu, walaupun bukan kesalahan kakitangan awam dan keluarga memiliki beg tangan dan jam tangan mewah “namun memiliki beberapa beg jenama Hermes, Chanel, atau Louis Vuitton boleh menimbulkan syak akan sumber kemewahan mereka”.

“Jika kakitangan kerajaan dan keluarga beli banyak barangan mewah dan memaparkannya, kami mahu tahu di mana mereka dapat wang untuk membeli semua itu,” Azam dipetik media sebagai berkata.

Lalu saya menulis, jika itu menarik perhatian SPRM tentunya perhatian yang sama akan atau boleh diberi kepada menteri, timbalan menteri, YB yang menayangkan kemewahan di media sosial. Takkan perhatian diberi kepada kakitangan awam sahaja. Betul tak?

Sekarang, rasanya masih ada amalan menunjuk kemewahan di media sosial oleh menteri dan YB terutama si isteri. Walaupun mungkin tidak serancak dahulu akibat pandemik yang menjejaskan sedikit sebanyak cara hidup mereka.

Tetapi masih ada gambar di Instagram dan Facebook YB tertentu berjam tangan mahal, merentas negeri dan negara ada kalanya. Gambar diambil sendiri dan juga oleh rakyat biasa. Maklumlah zaman ini ramai yang ada kamera telefon.

Ada juga YB dan isteri dan anak bersantai di Eropah yang gambar mereka dimuatnaik oleh si isteri dengan komen yang mengguriskan perasaan rakyat yang sedang dihimpit kesusahan pada waktu ini.

Mereka “getek”, meminjam istilah orang Perak. Apa lagi ramai yang sedang sangat marah ke atas apa yang dilihat sebagai kegagalan kerajaan membantu mengatasi kesan kesihatan dan ekonomi yang teruk akibat Covid-19.

Jelas nasihat Megat Junid 21 tahun lalu diabaikan.

Bagi saya, sekadar bertanya – adakah SPRM masih berpegang dengan pendirian bahawa kemewahan berlebihan yang dipaparkan di media sosial boleh menarik perhatian badan anti-rasuah itu?

Tidak kira sama ada mereka yang menonjolkan kemewahan itu secara sengaja atau tidak adalah kakitangan awam dan keluarga mahupun ahli politik dan anak-beranak mereka.

Kerana, dalam keadaan rakyat dan negara dalam krisis, contoh-contoh yang membuat kita “getek” terhadap sesetengah VVIP masih wujud, secara nyata. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.