`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 1, 2023

Belanjawan NS: Belia kahwin kali pertama dapat RM500, warga emas diberi RM200

 

Aminuddin Harun membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 di sidang DUN petang tadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengumumkan belia yang bakal berkahwin julung kali akan menerima RM500 daripada kerajaan negeri mulai tahun depan.

Ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 di sidang DUN petang tadi, beliau berkata kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan keceriaan RM200 kepada warga emas 70 tahun ke atas, manakala bayi lahir di negeri itu layak memohon caruman RM100 bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional mulai 2024.

“Dianggarkan 16,000 bayi akan dilahirkan di Negeri Sembilan. Oleh itu, RM1.6 juta diperuntukkan bagi tujuan ini,” katanya menurut Berita Harian.

Adun Sikamat itu berkata murid yang memasuki sekolah berasrama penuh bawah Skim Sejahtera Rakyat (SSR) akan menerima sumbangan RM300. Ia membabitkan peruntukan RM150,000 yang terhad kepada 500 penerima setahun.

Katanya ibu tunggal berpendapatan bawah RM2,000 sebulan pula akan menerima sumbangan RM200.

Beliau berkata belia B40 pula akan menerima baucar bantuan lesen motosikal RM150, membabitkan peruntukan sebanyak RM540,000 yang terhad kepada 100 belia di setiap DUN.

Katanya program baharu Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) Perintis akan diperkenalkan tahun depan bagi mewujudkan budaya keusahawan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Selain itu, program NS Choice dengan peruntukan RM1 juta di mana usahawan terpilih akan dibimbing ke arah peningkatan kualiti produk, penjenamaan, pembungkusan dan pensijilan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.