PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum tender rangkaian 5G kedua negara kepada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang Dewan Rakyat hari ini hanya menjawab secara umum
apabila beliau bertanya soalan mengapa spesifikasi pemilihan pengendali rangkaian tidak didedahkan.
“Keadaan itu menyebabkan proses pemilihan menjadi tidak telus menyebabkan mewujudkan pelbagai spekulasi yang membimbangkan kerana menyentuh kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen PN itu turut membangkitkan isu pegangan saham dalam U Mobile yang hampir separuh daripadanya dipegang syarikat berpusat di Singapura dan kini mahu mengurangkannya kepada 20%.
“Apabila U Mobile dilantik sebagai pengendali 5G kedua negara, nilai saham mereka sudah pasti melonjak berkali ganda.
“Maksudnya, “divestment” yang akan dibuat untuk menurunkan pegangan asing ke 20 peratus akan membolehkan golongan ‘mahakaya’ Singapura mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana nilai saham mereka akan jual sudah pasti jauh lebih tinggi berbanding harga pelaburan asal mereka,” katanya.
Tambah Wan Saiful, syarikat itu juga bakal mengaut keuntungan apabila U Mobile menjalankan tawaran awam permulaan (IPO) yang mungkin menyaksikan nilai pegangan dan harga sahamnya melambung selaku pengendali rangkaian 5G kedua.
Wan Saiful turut membangkitkan persoalan mengapa wakil U Mobile sebagai ahli Lembaga Pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) tidak diarah meletak jawatan serta-merta kerana keberadaan mereka sebagai pesaing.
“Sebagai pengarah, jika individu ini ada akses kepada maklumat-maklumat sensitif mengenai hal ehwal dalaman dan strategi DNB, sudah pasti syarikat swasta U Mobile akan mempunyai senjata untuk bersaing dan mengalahkan DNB.
“Tapi DNB tidak ada akses kepada strategi dalaman U Mobile, menjadikan padang tidak sama rata.
“Kenapa kerajaan memberi kelebihan kepada pesaing yang majoriti dimiliki oleh Singapura, sedangkan syarikat GLC milik rakyat Malaysia iaitu DNB dipaksa bersaing atas padang yang tidak sama rata?” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada Straits Mobile Investments Pte Ltd sebagai
pemegang saham terbesar dalam U Mobile atau pemiliknya mempunyai kaitan
dengan mana-mana syarikat pelaburan milik kerajaan Singapura seperti Temasek.
“…dan mengapa dua pengendali gergasi telekomunikasi negara, CelcomDigi dan Maxis, tidak dipilih apabila walhal mereka mempunyai kekuatan kewangan, liputan, infrastruktur dan pelanggan yang lebih tinggi?
“Ini semua menimbulkan persoalan yang belum terjawab,” katanya.
1 Nov lalu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan U Mobile yang dipengerusikan taikun Vincent Tan, dipilih melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
Semalam, SKMM menjelaskan pemilihannya dibuat atas beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan, serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif prasarana lain. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.