“Serius umur abang 51?” tanya Faliq, seorang anak muda awal 30-an yang tidak percaya apabila saya menjawab soalan Hidayat, gitaris band Pitahati yang bertanyakan berapa umur saya.
“Macam mana abang boleh bergaul dengan budak muda macam kami? Kecoh!” tanya dia lagi yang membawa maksud bersabarkah saya melayan kerenah budak muda seperti mereka yang suka buat bising, komplen sana-sini dan marah-marah? Apasal dia tanya begitu? Umur seperti saya sekarang sudah tuakah? Sudah berlalukah zaman muda untuk saya? Saya tak rasa pun saya tidak lagi muda walaupun bukan lagi remaja.
Ya! Semua kita pernah remaja dan muda. Masa muda adalah masa yang berapi-api. Bak kata Rhoma Irama dalam lagu bertajuk Darah Muda:
‘Darah muda darahnya para remaja
Selalu merasa gagah tak pernah mau mengalah
Masa muda masa yang berapi-api
Maunya menang sendiri walau salah tak peduli’
Ketika usia 20-an hingga hujung 30-an saya memang jenis cepat panas. Betullah kata Rhoma itu, selalu merasa gagah dan berasa betul. Namun, saya sedar mengapa saya jadi begitu. Ia mengikut bagaimana saya menerapkan minat dan kecenderungan saya pada waktu itu masuk ke dalam hidup saya. Apabila muzik, filem, puisi dan politik bercampur-baur di dalam fahaman saya, itulah hasilnya. Muzik yang keras mengajak berjuang, filem yang mengkritik sistem, puisi-puisi protes dan ideologi politik berbaur kebencian menjadikan saya ‘the angry young man’. Apa sahaja berkaitan dengan sistem yang saya nampak pincang dan berlaku di depan mata saya terus lawan.
Apabila kerani kaunter saya lihat terhegeh-hegeh bekerja ketika berurusan, saya akan marah. Apabila nampak orang awam yang normal parkir kereta di petak parkir khas untuk OKU, saya akan herdik dan maki. Lebih teruk lagi seperti kata Rhoma itulah; dah salah pun tak mahu mengaku. Disaman pegawai penguat kuasa kerana parkir kereta tepi jalan pun kertas saman saya peronyokkan. Saya menyalahkan politik dan menuding kepada kebobrokan sistem walhal saya parkir di tempat yang tak betul.
“Masa kita muda kita rasa macam nak ubah dunia tapi apabila kita ubah sudut pandang kita, tiba-tiba dunia pun berubah,” kata guru saya.
Perjalanan dan pengalaman akan mengubah pendirian kita. Peristiwa yang menimpa kita akan membentuk semula pemikiran kita. Kata orang, manusia takkan berubah banyak tetapi perubahan yang sikit itulah telah menolak kita keluar daripada pendirian semalam.
Orang kata makin tua usia, kita makin ‘slow’. Kita mula menjadi ‘orang baik’ sebab kita mahu anak-anak kita jadi orang baik, maka itu kita harus tunjukkan contoh. Kita pun mula ke masjid atau menjadi imam berjemaah di rumah. Ketakutan kita kepada runtuhnya institusi di rumah sangat kuat. Kini budak-budak generasi muda melihat kita adalah seorang pak cik yang tak sesuai duduk bersama mereka kerana kita sudah ketinggalan zaman dan suka bernostalgia kisah lama di samping ghairah hendak memberi nasihat percuma kepada mereka.
Sesetengah anak muda tidak gemar kepada pak cik-pak cik begitu. Poyo! Kamu dulu pun macam kami juga tetapi kenapa hari ini kamu kata kami tak boleh itu tak boleh ini, kata mereka.
Sebab itu apabila Faliq tanya soalan kepada saya di awal tadi tak canggungkah saya bergaul dengan anak muda yang sifatnya marah-marah, saya fikir saya menggunakan pendekatan yang sama juga apabila saya melepak dengan ‘otai-otai’ yang jauh lebih tua daripada saya. Saya lebih banyak mendengar daripada bercakap. Anak-anak muda yang selalu bersemangat berdebat, kritik itu ini di hadapan saya, saya biarkan sahaja. Saya angguk-angguk dan senyum sahaja sebagaimana saya terhangguk-hangguk apabila mendengar orang tua bercerita dan bernasihat.
“Setiap generasi ada perlawanan zaman mereka masing-masing,” kata saya. “Waktu kami dulu berlawan dengan dasar-dasar yang bagi kami amat bodoh seperti artis lelaki diharamkan muncul di kaca TV hanya kerana berambut panjang. Apa masalahnya rambut dengan karya? Sebuah muzik dan lagu yang bermutu dan bertaraf antarabangsa dicampak begitu sahaja hanya disebabkan penyanyinya berambut panjang. Apahal?”
Ah! Panjang pulak kalau nak ulas hal ini. Tapi itu isu generasi kami. Isu remaja dan anak muda hari ini apa ya? Saya bertanya kepada Faliq dengan jujur kerana saya tak tahu apa kemarahan anak muda dan remaja hari ini. Apa dilema mereka?
Ini zaman media sosial, bang. Mereka bergelut dengan kesihatan mental yang diagnosanya mereka sendiri buat. Mereka menuntut kebebasan dalam menzahirkan pandangan dan amalan mereka. Mereka berontak mahukan keterbukaan yang lebih luas. Di media sosial mereka secara terbuka mendedahkan apa orientasi seks mereka, apa pegangan agama mereka, apa pandangan politik mereka. Dulu pun ada tapi generasi dulu senyap-senyap saja buat tapi mereka hari ini dah BERANI isytihar secara terbuka. Istilah ‘depression’, ‘anxiety’ dan ‘mental illness’ adalah isu mereka hari ini.
Oh! Berani. Ya, anak muda harus berani. Saya juga dahulu berpandangan bahawa marah-marah itu adalah lambang keberanian. Kalau diam, maknanya penakut. Padahal marah dan berani amat berbeza. Tiada garis halus yang mengelirukan antara berani dan marah sebaliknya jurang antara keduanya sangat besar. Memang benar kerana beranilah seseorang itu mampu bangkit dan marah-marah tetapi seorang yang berani tak semestinya perlu marah-marah. Lama-kelamaan pasti kita akan sedar perbezaannya nanti. Itulah proses. Adat hidup begitulah.
Kita akan berada di beberapa fasa. Fasa marah-marah. Fasa membuktikan apa yang kita marah itu berbaloi untuk dilawan. Fasa seterusnya adalah fasa penat dan sia-sia lalu beralih ke arah haluan lain. Kemudian masuk ke fasa bertenang dan akhir sekali fasa mengenang.
Saya mungkin sedang berada di fasa bertenang. Tak mahu lagi lekas marah dan cuba mengelak untuk bergaduh. Tetapi sekali-sekala perlu juga menzahirkan kemarahan untuk memahamkan pihak lain yang tak faham-faham dan cuba mengambil kesempatan. Bara kemarahan tetap ada dan diam terpendam di dalam hati cuma kena kawallah sikit.
Orang muda marah-marah itu biasalah, untuk buktikan dia berani. Apabila usia menginjak, tidak mengapa jika amarah sudah mengendur. Asalkan keberanian tetap teguh dan tidak luntur.
Tiba-tiba ternampak ‘sifu’ keluar dari pintu pejabat Luncai Emas yang terletak di hadapan gerai yang kami lepak. Sang sifu duduk menyertai kami dan mula bercerita akan pengalaman lalu dan cabaran hari ini. Saya, seorang pak cik yang pernah panas baran dan beberapa anak muda yang berapi-api tadi terus diam dan tekun mendengar ‘surah-surah’ yang keluar dari mulut beliau. Syukur jika anak muda yang berapi-api masih waras dan tahu bila hendak simpan dan bila hendak dilepaskan.
‘Hate is baggage. Life’s too short to be pissed off all the time. It’s just not worth it.’ – Derek Vinyard filem American History X (arahan Tony Kaye – 1998) - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.