`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, November 5, 2024

‘FAM join saya’, apa maksud TMJ?

 

hishamuddin-aun

Ciapan ringkas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada seorang warga maya mengenai bila baginda akan kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat mengundang lebih banyak persoalan daripada menawarkan jawapan.

Harus ramai tertanya-tanya apa yang dimaksudkan Pemangku Sultan Johor dalam jawapannya kepada @icaddcuy di laman Instagram itu tetapi sebagai seorang yang gemar berteka-teki, baginda tidak menghuraikannya sambil membiarkan orang ramai membuat tafsiran sendiri.

Sambil jawapannya membayangkan tiada minat untuk kembali memimpin badan induk bola sepak negara – jawatan yang pernah disandangnya selama genap setahun hingga 25 Mac 2018 – apa yang boleh difahami daripada ciapannya ialah baginda tidak berminat selepas lebih enam tahun meninggalkan FAM.

Beberapa bekas pemain bola sepak kebangsaan – antaranya Wan Jamak Wan Hassan, Safee Sali dan Hairuddin Omar – menyusuli pesanan TMJ itu dengan harapan supaya baginda mempertimbangkan peranan itu semula kerana berpendapat tiada tokoh lain yang lebih berkemampuan ketika ini.

Namun, selain belum memberi sebarang reaksi berbeza, ciapannya pada Jumaat, “Saya tak join FAM (tapi) FAM join saya” menjelaskan pendirian baginda belum berubah tapi tidak menolak untuk membantu badan induk itu dalam kapasiti berbeza. Mungkin itu yang boleh difahami.

Tidak cukup setakat itu, malah Tunku Ismail pada Ahad mengkritik pula beberapa individu dalam kepimpinan FAM sebagai gagal menjalankan tugas dengan baik hingga menghalang kemajuan sukan itu di negara ini.

Ini juga mengundang teka-teki terhadap siapa sebenarnya yang dimaksudkannya sebagai tidak mempunyai visi, komitmen, pengetahuan dan keinginan untuk memajukan bola sepak tempatan.

Tetapi apabila baginda membuat perbandingan dengan Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir di atas kemajuan pasukan kebangsaan republik itu, maka orang membaca ia ditujukan kepada Presiden FAM Hamidin Mohd Amin.

Juga ia tidak berhenti mengundang persoalan. Apakah TMJ kecewa dengan Hamidin – pemimpin yang diangkat baginda sendiri sebagai pengganti dan seorang yang cukup komited untuk membangunkan bola sepak negara — ketika melepaskan jawatan presiden FAM enam setengah tahun lalu?

Berbalik kepada persoalan sama ada TMJ akan kembali memimpin FAM, rasanya ia tidak berkemungkinan atas pengalaman tidak menggembirakan selepas baginda menang tanpa bertanding jawatan itu dalam Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac 2017.

Selepas hanya enam bulan dalam jawatan berkenaan, Tunku Ismail mendedahkan terdapat perancangan di sebalik tabir untuk menurunkan baginda. Menegaskan tidak akan tunduk, TMJ berkata apa juga usaha untuk menggantikan baginda – dan ketua pegawai eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ketika itu, Kevin Ramalingam – tidak akan berjaya.

“Beberapa ahli Exco (FAM) tidak bersetuju dengan pandangan saya kerana mereka mahukan orang mereka sendiri. Tapi maaf, ini sebuah persatuan bola sepak, bukannya parti politik,” kata baginda dalam sidang media selepas Kongres FAM di Johor Bahru pada 5 Okt 2017.

Berselang enam bulan, Tunku Ismail membuat kejutan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers bahawa baginda patut meletak jawatan selepas mendapat kritikan di media sosial berikutan ranking Harimau Malaya turun dari 175 ke 178. Walaupun hanya tiga anak tangga, baginda menganggapnya “satu kegagalan besar”.

Akhirnya pada 25 Mac 2018, Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatannya dalam sidang media selepas kongres tahunan FMLLP di Gelang Patah. Baginda turut mengumumkan menerima pelantikan selaku pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang baru ditubuhkan menggantikan FMLLP ketika itu.

Membuka mulut mengenai sebab-sebabnya meninggalkan FAM lebih setahun kemudian pada 23 Mei 2019, TMJ berkata ia selepas ramai pihak termasuk penaja serta rakan kongsi liga menggesa baginda menjadi pengerusi MFL dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Tanggungjawab FAM adalah untuk menjaga pasukan kebangsaan, jawatankuasa tatatertib, jawatankuasa disiplin dan sebagainya untuk lebih kepada formal di mana bukan fokus khusus kepada liga. Saya tidak boleh memegang dua jawatan kerana saya hanya boleh komited kepada salah satu jawatan itu.

“Apabila kebanyakan bajet, penajaan dan kerjasama adalah menerusi MFL, saya menganggap lebih baik saya berada di MFL dan serahkan (jawatan presiden) FAM kepada Hamidin yang merupakan seorang cukup komited untuk membangunkan bola sepak negara,” kata TMJ dalam satu sidang media khas di Johor Bahru.

“Ramai juga yang mengatakan saya meninggalkan FAM (tanpa berbuat apa-apa). Kalau nak bercakap mengenai sumbangan saya kepada bola sepak semasa saya menjadi presiden FAM, saya telah selesaikan semua hutang FAM (RM12 juta wang sendiri dan RM1.4 juta saman daripada MP & Silva). Saya tidak tinggalkan FAM tanpa berbuat apa-apa,” tambahnya.

Berpandukan kenyataan itu semata-mata, sukar untuk membayangkan Tunku Ismail boleh dipujuk untuk menjadi presiden FAM semula atau itu yang patut menjadi keutamaannya ketika ini.

Lantas, apa maksud ciapan “FAM join saya”?

Ia mungkin boleh dirujuk kepada dokumen ‘Strategi Skuad Kebangsaan’ yang akan menyaksikan Harimau Malaya diurus oleh sebuah badan bebas dipimpin seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) atau pengarah teknikal (TD) seperti dikongsi Tunku Ismail di laman Instagram 3 Sept lalu.

Cadangan itu dimengertikan ramai sebagai bayangan skuad Harimau Malaya mungkin ‘diswastakan’. Namun, ini diperjelaskan Timbalan Presiden FAM Yusoff Mahadi pada 7 Okt lalu bahawa ia bukan berkonsep penswastaan, sebaliknya satu unit baharu di bawah FAM akan ditubuhkan untuk memantau dan mengendalikan skuad kebangsaan secara khusus.

“Isu penswastaan pasukan kebangsaan ini tidak timbul kerana akan ada satu unit khas untuk pasukan kebangsaan yang turut membabitkan skuad B-23.

“Idea ini adalah daripada Pemangku Sultan Johor dan dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Idea ini adalah untuk membantu dan menambah baik skuad kebangsaan,” katanya selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa FAM.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh seterusnya berkongsi pada 25 Okt lalu bahawa Tunku Ismail telah memberi pandangan dan cadangan mengenai pelan pembangunan bola sepak Malaysia dalam satu perbincangan yang disertai kedua-duanya bersama Anwar dan Hamidin.

“RM15 juta yang telah diumumkan oleh perdana menteri untuk Harimau Malaya perlu digunakan dengan sebaik-baiknya. Patik telah mendengar pandangan dan cadangan Tunku Mahkota Ismail dalam perancangan yang telah disediakan oleh FAM. Pemangku Sultan Johor mempunyai pengalaman dalam meningkatkan taraf bola sepak,” kata Hannah menerusi laman Facebook tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Ini membawa kepada satu lagi persoalan apakah Tunku Ismail akan menjadi CEO unit khas untuk pasukan kebangsaan yang akan ditubuhkan di bawah FAM? Hanya TMJ mempunyai jawapannya pada peringkat ini. Kita nantikan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.