`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 1, 2024

Banjir: Mangsa di Pahang meningkat, 7 negeri menurun

 

banjir raub pahang
Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 1,152 orang membabitkan 389 keluarga, meliputi tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis. (Gambar APM)
KUALA LUMPUR
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang terus meningkat manakala tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Perlis mencatatkan sedikit penurunan, setakat 4 petang ini.

Sementara itu, banjir di Selangor pulih sepenuhnya selepas PPS SK Sungai Binjai di Meru, Klang ditutup pada 1.13 tengah hari tadi dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS seluruh negara kini berkurang kepada 148,024 orang petang ini berbanding 152,377 pagi tadi.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,152 orang membabitkan 389 keluarga berbanding 452 orang yang dilaporkan pagi tadi, meliputi tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 25 PPS dibuka dengan Raub mencatatkan angka tertinggi mangsa iaitu seramai 1,051 orang, diikuti Jerantut (77) dan Lipis (24).

Di Kelantan jumlah mangsa banjir mulai berkurang petang ini dengan merekodkan 94,214 mangsa membabitkan 29,264 keluarga yang ditempatkan di 264 PPS berbanding 96,743 mangsa pagi tadi.

Menerusi Portal Info Bencana JKM, jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 29,846 orang, diikuti Tumpat (18,652), Kota Bharu (11,146), Pasir Puteh (10,673) dan Kuala Krai (6,099).

Turut terkesan, Bachok dengan 6,611 mangsa, Machang (6,595), Tanah Merah (4,243) dan Jeli (349).

Mangsa banjir di Terengganu juga berkurang sedikit petang ini kepada 41,788 orang melibatkan 11,274 keluarga yang ditempatkan di 294 PPS di semua lapan daerah terjejas berbanding 43,281 orang pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan antara daerah yang menunjukkan pengurangan daftar mangsa di PPS petang ini ialah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu manakala lima lagi daerah lain iaitu Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Marang merekodkan pertambahan mangsa.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 8,468 orang daripada 2,603 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 8,754 orang daripada 2,671 keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa dari tujuh daerah itu ditempatkan di 52 PPS.

Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi seramai 3,421 mangsa, Kubang Pasu (2,490), Sik (987), Padang Terap (743), Pokok Sena (614) Kuala Muda (182) dan Baling (31).

Sementara itu, PLUS Malaysia menerusi Facebook rasminya memaklumkan KM32.1- KM33.2 antara laluan Jitra ke Hutan Kampung, lorong di kedua-dua arah masih ditutup dan trafik arah selatan dilencongkan ke Persimpangan Jitra Selatan manakala trafik arah utara dilencongkan ke Persimpangan Kepala Batas.

Di Johor, jumlah mangsa berkurang kepada 528 orang daripada 139 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 592 orang pagi tadi susulan penutupan tiga PPS iaitu SK Bukit Rahmat, Sekolah Agama Bandar dan SK Abdullah di Tangkak

Di Negeri Sembilan, Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir di negeri itu mencatatkan penurunan setakat 4 petang ini dengan 1,561 orang daripada 419 keluarga ditempatkan di sembilan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin, dan Jempol.

Di Melaka, mangsa turut berkurang kepada 238 orang setakat 4 petang ini berbanding 302 orang pagi tadi yang ditempatkan di empat PPS membabitkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah

Di Perlis, situasi banjir bertambah baik apabila sebuah lagi PPS iaitu PPS Dewan Warisan di Kangar ditutup pada 3.30 petang sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 75 orang daripada 18 keluarga berbanding 226 orang daripada 62 keluarga pagi tadi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.