BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman terhadap 25 bas ekspres dan persiaran kerana kesalahan tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300km atau perjalanan selama empat jam berterusan, dalam operasi khas di tiga plaza tol.
JPJ memaklumkan operasi bermula 10 malam semalam dan berakhir 7 pagi itu dilaksanakan di Plaza Tol Juru, Plaza Tol Bukit Tambun, dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.
“JPJ turut menyita sebuah bas ekspres kerana pemandu tiada lesen memandu dan sebuah lori kontena kerana pemandu di bawah umur.
“Tindakan juga diambil ke atas 23 bas atas kesalahan tiada buku log atau kemas kini buku log pemandu manakala satu kes tiada pemandu pelancong,” menurut kenyataan.
Secara keseluruhan 273 notis saman dikeluarkan dalam operasi selama hampir 10 jam itu atas pelbagai kesalahan dan kesalahan teknikal.
JPJ memaklumkan tujuan penguatkuasaan itu bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.