Notis dan arahan terhadap kawasan Loji Jana Kuasa Tanjung Bin dikeluarkan sementara tunggu siasatan selesai.

Menurut JKKP Johor, notis dan arahan terhadap Loji Jana Kuasa Tanjung Bin dekat Kukup itu dikeluarkan sementara menunggu selesainya siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebuah kren mengangkat arang batu runtuh semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, maut manakala tiga lagi cedera, selain berlaku kebakaran kecil.
JKKP Johor berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja sekali gus menasihati majikan agar lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
JKKP turut mengingatkan majikan supaya menjalankan pentaksiran risiko terhadap setiap aktiviti kerja serta mengambil langkah kawalan bagi menghapuskan atau mengurangkan risiko yang ada.
Terdahulu dilaporkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menggesa agar siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan dengan pihak pengurusan loji.
Kontraktor terlibat turut diarahkan memberi kerjasama penuh.
Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menyeru pihak berkuasa berkaitan, khususnya JKKP dan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal terlibat, mengenal pasti punca kejadian. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.