Resolusi termasuk tindakan undang-undang terhadap ibu bapa benar anak ponteng serta penyertaan wajib dalam PLKN peringkat sekolah.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu merupakan antara dapatan penting hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan negeri selama dua hari yang berakhir hari ini.
“Konvensyen yang menghimpunkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan itu, telah merumuskan 10 resolusi utama yang akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai syor penambahbaikan dasar dan pelaksanaan pendidikan pada peringkat nasional.
“Antara resolusi yang dipersetujui ialah penguatkuasaan tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membiarkan anak ponteng sekolah, kerana sikap lepas tangan tidak boleh dinormalisasikan dalam pembentukan sahsiah pelajar,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian konvensyen itu, yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rahmad Mariman dan Pengarah Pendidikan negeri Mahfudzah Mohamed Noor.
Ab Rauf berkata, resolusi lain termasuk mewajibkan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) kepada semua murid sekolah rendah di Melaka, selain menjadikan ketua jabatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sebagai bapa angkat kepada sekolah bagi memantau disiplin pelajar.
Katanya, konvensyen itu turut mencadangkan sekatan terhadap aplikasi digital yang memberi pengaruh negatif kepada pelajar, agar kandungan toksik tidak menjadi “guru kedua” yang menjejaskan pembentukan sahsiah anak-anak.
Selain itu, menurut Ab Rauf, kerajaan negeri mengesyorkan penguatkuasaan larangan penjualan vape dan rokok, atau mengehadkan lokasi jualannya dalam lingkungan 1km dari kawasan sekolah.
“Antara resolusi lain ialah penarikan hak sebagai penerima bantuan pendidikan terhadap pelajar yang ponteng sekolah dan mempunyai masalah disiplin tegar, serta pembangunan sistem bersepadu digital berkaitan psikososial dan kesihatan mental pelajar.
“Kerajaan negeri juga mencadangkan penyertaan wajib pelajar dalam program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada peringkat sekolah sebagai usaha membentuk disiplin, jati diri dan semangat kenegaraan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan pembangunan dasar dan pekeliling baharu yang lebih komprehensif di bawah Pelan Disiplin Pelajar atau Anak Melaka (PDAM), selari dengan keperluan semasa.
Katanya, PDAM akan berfungsi sebagai dokumen strategik negeri dan prosedur operasi standard (SOP), yang menyatukan semua inisiatif pembentukan sahsiah dan disiplin pelajar dalam satu kerangka pelaksanaan yang tersusun dan berkesan.
Ketua menteri berkata, matlamat akhir inisiatif itu ialah memastikan Melaka bersedia menjadi negeri rintis dan model nasional, dengan pembangunan sahsiah, akhlak dan disiplin pelajar dilaksanakan seiring dengan kecemerlangan akademik. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.