Barjoyai Bardai berkata timbul persoalan besar berkaitan tadbir urus, penilaian RM3.15 sesaham serta kepentingan nasional yang perlu dipertimbang.

Barjoyai berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu tadbir urus IJM juga membangkitkan kebimbangan struktur tawaran dan masa pelaksanaannya.

Menurut Barjoyai, cadangan pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) oleh Sunway ke atas IJM pada RM3.15 sesaham dianggap kurang menarik oleh beberapa firma penyelidikan antaranya Kenanga Research yang menyifatkan penilaiannya tidak menguntungkan.
“Ia berbanding nilai intrinsik IJM (RM3.40 sasaran Kenanga) dengan nilai tersirat kepada pemegang saham IJM sekitar RM2.69 jika menormalisasi kepada harga sasaran Sunway RM4.73.
“Ini menunjukkan ketakseimbangan pertukaran nilai antara pemegang saham IJM dan Sunway,” kata ahli ekonomi Universiti Antarabangsa Al-Madinah itu kepada FMT.
Pada 12 Jan lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Pemegang saham IJM yang berminat mempunyai tempoh untuk mempertimbangkan tawaran itu sehingga 5 petang, pada 6 Apr.
Sebelum ini, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menolak cadangan itu kerana urus niaga berkenaan akan merugikan kepentingan negara.
Urus niaga itu turut dibayangi dengan siasatan SPRM terhadap IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram mencecah RM2.5 bilion.
Barjoyai berkata sentimen itu boleh difahami kerana IJM mempunyai ciri aset strategik negara walaupun tidak diklasifikasikan secara rasmi seperti Petronas atau Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, pegangan oleh institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadikan IJM instrumen kepentingan awam, bukan semata-mata entiti swasta.
“Peranan IJM juga kritikal dalam sektor pengangkutan awam (LRT Mutiara), pelabuhan strategik di Kuantan selain kemudahan tenaga, jalan ray serta pusat data berskala awam,” katanya.
Barjoyai turut menggesa urus niaga membabitkan Sunway-IJM dipantau Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mempunyai mandat jelas di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan antaranya untuk memastikan urus niaga adil, ketelusan penilaian serta menilai konflik kepentingan.
“Langkah ini apabila harga dianggap rendah oleh penyelidik utama, struktur pertukaran berat sebelah dan sentimen pasaran luar biasa.
“Semakan mendalam oleh SC adalah amalan tadbir urus biasa, bukan campur tangan politik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat PuTERA35 Majlis Perundingan Melayu (MPM) Syed Zikri Shahabudin berkata sebarang perubahan struktur pemilikan perlu diteliti secara menyeluruh, telus dan berlandaskan kepentingan awam.
“Cadangan pengambilalihan berskala besar itu berlaku ketika IJM mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung terhadap projek infrastruktur strategik negara selain melibatkan pegangan institusi utama seperti PNB, KWSP, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji,” katanya.
Berhubung laporan dakwaan wujud unsur tidak wajar dalam urus niaga itu, Syed Zikri berkata semakan bebas oleh pihak berkuasa dan pengawal selia pasaran penting bagi memastikan tiada unsur konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa atau manipulasi pasaran.
“MPM menegaskan sebarang urus niaga korporat berskala nasional mestilah selari prinsip tadbir urus baik, kepentingan rakyat serta tidak menghakis peranan institusi Bumiputera dan kepentingan ekonomi Melayu dalam jangka panjang,” tambahnya.

Soal ketelusan dalam cadangan pengambilalihan saham IJM oleh Sunway turut dibangitkan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Beliau antara lain mempersoalkan keuntungan yang hanya bakal dinikmati satu pihak sahaja memandangkan seolah-olah tiada proses terbuka.
“Adakah ini rundingan tertutup? Adakah ini rundingan siap pakej atau lebih tepat siapa orangnya?,” katanya yang turut menggesa SC memantaunya. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.