Tindakan wajar dinilai dari sudut pencegahan konflik kaum, kepentingan awam dan kelangsungan keharmonian negara.

Semalam, sekitar 8 hingga 10 malam, polis telah menahan beberapa individu yang dikaitkan dengan demonstrasi ‘rumah ibadat haram’.
Diantaranya individu didakwa ‘pendakwah bebas’ Zamri Vinoth. Siapa yang memberi beliau tauliah berdakwah Wallahu a’lam saya pun tak tahu.
Tetapi semua maklum beliau adalah anak didik Zakir Naik. Siapa yang memberi tauliah Naik sebagai pendakwah pun saya tak perasan.
Saya, kalau nak makan ubat atau nak ikut ajaran professional, saya nak tahu juga lah tauliah doktor dan penceramah, lebih-lebih lagi tentang isu akhirat, syurga dan neraka.
Bagaimanapun, ada beberapa suara sumbang yang mengecam tindakan polis semalam. Ada yang kutuk polis kerana tidak faham konsep demonstrasi dan perhimpunan aman tanpa senjata.
Ada yang kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengelat kerana dia dulu pun demonstrasi jalanan dan mengutuk pihak berkuasa.
Pun ada yang kata demonstrasi ini tanggung jawab umat Islam menentang ketidakadilan dan kebiadaban agama lain.
Dalam artikel ini saya ingin memberi pendapat justifikasi saya kenapa penahanan Zamri dan pengharaman hak demonstrasi dalam isu ini adalah suatu kebaikan menyeluruh untuk kesemua rakyat Malaysia dan juga umat Islam.
Pertamanya, saya dapati yang kena tahan semua dari satu kaum dan satu ugama. Zamri dikatakan seorang India yang memeluk Islam jadi dia lebih berpihak kepada ‘orang Melayu’ dalam hal ini.
Saya telah mengatakan dalam artikel saya yang lalu bahawa jika penyokong-penyokong demonstrasi ‘rumah ibadat haram ini’ adalah dari satu kaum dan dari satu ugama maka ia boleh menjadi konflik perkauman dan konflik agama.
Demonstrasi sesuatu kaum dan sesuatu agama untuk memperjuangkan hak universal dan saksama merentas agama dan kaum seperti isu ekonomi atau pendidikan adalah suatu yang baik.
Tetapi jika ada demonstrasi yang mengumpulkan satu kaum dan satu agama dan isunya adalah kaum lain dan agama lain, saya rasa tidak baik untuk diteruskan.
Maka itu saya menyokong penuh pihak polis menggagalkan perhimpunan tersebut sebelum ia bermula.
Keduanya, penganjur perhimpunan ini, setahu saya, tidak mendapat kebenaran mana-mana pihak malahan terdapat gesaan dari pemilik-pemilik peniagaan yang khuatir kacau bilau yang boleh menggugat pendapatan ekonomi peniaga.
Oleh kerana itu, perhimpunan ini yang tidak mendapat kebenaran kerana ia bakal mendatangkan kemudaratan ekonomi di tempat demonstrasi.
Kenapa pihak penganjur tidak pilih dewan atau stadium dengan program merentas agama serta kaum tetapi membincangkan isu ini dengan tertib dan rasional? Kita pun dah boleh agak jawapannya yang saya pasti tak ada kena mengena pun terhadap kebaikan negara kita serta rakyat kesemua.
Ketiga, oleh kerana demonstrasi ini dijadualkan pada hari yang sama Perdana Menteri India Narandren Modi tiba di negara kita untuk lawatan balas rasmi Anwar Ibrahim bertandang ke India tempoh hari, maka ada sesuatu yang tidak kena dalam perhimpunan ini.
Ada sebuah artikel telah mencadangkan bahawa niat perhimpunan ini bukan pasal rumah ibadat haram tetapi mempunyai niat politik memburukkan imej negara dan Anwar agar hubungan antara Malaysia dan India menjadi keruh.
Seperkara yang sama juga wujud dalam perhimpunan menentang kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tahun lalu. Perhimpunan itu juga diharamkan pihak polis.
Keempat, jika ada perselisihan faham antra kaum dan agama maka kita rakyat Malaysia perlu menggunakan mediator ketiga dan yang sebetulnya.
Dalam hal pencerobohan mana-mana rumah ibadat, baik ia surau, kuil atau gereja, pihak pentadbiran tempatan lah rujukan utamanya. Kita tidak boleh sebagai rakyat mengajak kumpulan kaum dan seagama kita berkumpul untuk menentang kaum dan penganut agama lain.
Dalam hal ini, pihak pengurusan tempatan seperti majlis perbandaran adalah pihak yang sepatutnya menguruskan semuanya. Kalau kita sekaum dan seagama nak demonstrasi pun, pergilah depan majlis perbandaran tempatan dan hantar memo.
Janganlah kita terjerit-jerit menghina kaum lain dan orang ugama lain di tempat awam dan perniagaan. Ini bukan nilai Islam dan bukan juga nilai kewarganegaraan kita. Demokrasi harus berpangkal hikmah bukannya tohmah.
Kelima, dalam isu demonstrasi waktu zaman reformasi dahulu, saya ingat bahawa demonstran tidak pernah membawa isu menentang kaum lain dari orang Melayu dan juga tidak menghina agama sesiapa pun yang lain.
Reformasi berpaksi kepada keadilan terhadap Anwar yang dipenjarakan yang diiktiraf dunia sebagai ‘prisoner of conscience’. Demonstrasi Reformasi bukan juga menyentuh suatu usaha memalukan negara dengan hubungan antara negara lain serta cuba mensabotaj hubungan dua hala dengan negara jiran dan kawan.
Saya amat pasti demonstrasi malam tadi bersifat udang di sebalik batu. Pun demikian jika ia bersabit kepada isu pencerobohan ruang awam oleh rumah ibadat mana-mana agama, demonstrasi sebegini bukan caranya.
Kajian seperti empat soalan yang saya tuliskan tempoh hari perlu dibuat dan memorandum boleh diserahkan di bilik mesyuarat majlis perbandaran tempatan dengan permintaan beradab dan professional.
Demokrasi bukan lesen untuk kita mengeruhkan hubungan harmoni antara kaum dan agama.
Demokrasi adalah ketinggian ketamadunan manusia yang faham erti sebenar kebebasan bersuara dalam konteks adab dan hikmah membaca situasi semasa. - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.